Sunday, November 23, 2008

Cadangan DAP Ubah Nama Jalan Silibin Kepada Jalan P. Patto di Perak dibatal



IPOH, 22 Nov Kerajaan negeri Perak akhirnya membatalkan cadangan menukar nama Jalan Silibin di sini kepada nama mendiang Pengerusi DAP Perak P. Patto ekoran kontroversi yang tercetus apabila pelbagai pihak menyuarakan bantahan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri Ngar Kor Ming berkata kerajaan negeri sebaliknya akan mencari jalan lain yang lebih sesuai untuk dinamakan Jalan P. Patto.

Bercakap kepada pemberita di pejabat DAP di sini beliau berkata cadangan itu menimbulkan banyak bantahan daripada pelbagai pihak dan keluarga mendiang turut menerima bahangnya apabila menerima cemuhan dan sebagainya.

Sidang akhbar itu turut dihadiri isteri mendiang Patto, S. Mary, 59, dan dua anak perempuan mereka Shaalani Anne, 27 dan Kasthuri Raani, 29.

Beliau yang juga Ketua Pemuda DAP itu berkata DAP Perak telah membuat keputusan untuk menamakan sebuah pusat kajian yang akan ditubuhkan parti itu sebagai Pusat Kajian P.Patto dan ia akan beroperasi di Wisma DAP di sini.

"Ia sebagai mengenang jasanya membantu parti itu berkembang di negara ini...pimpinan negeri telah bersetuju dengan cadangan itu dan kerja-kerja pengubahsuaian wisma itu akan dijalankan pada bila-bila masa," katanya.

Sementara itu, Mary merayu orang ramai menghentikan segala tohmahan yang dilempar terhadap keluarganya ekoran hasrat kerajaan negeri menamakan Jalan Silibin sempena nama P. Patto

Beliau berkata keluarganya tidak pernah meminta sebarang tugu peringatan atau apa-apa dibina untuk mengenang jasa Patto.

Dalam perkembangan lain, Nga berkata kerajaan negeri tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap seorang Ahli Majlis Perbandaran Taiping yang ditahan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan cetak rompak DVD dan VCD kerana tiada dakwaan dibuat terhadapnya.

Ahli majlis berusia 40-an itu ditahan dalam serbuan bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan polis di sebuah rumah di Taman Hijau, Taiping pada petang Khamis lepas.

Dalam serbuan itu, sebanyak 11 kotak VCD dan DVD kosong, dua buah komputer dan dua mesin pencetak dirampas.

No comments: