Thursday, April 30, 2009

Hasrat PKR 'angan-angan Mat Jenin'



Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek menyifatkan hasrat Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menawan Sabah dan Sarawak tahun depan sebagai 'angan-angan Mat Jenin'.
Beliau berkata, selepas parti itu gagal membentuk Kerajaan Pusat pada 16 September lepas, rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap PKR.
''Saya rasa cerita angan-angan Mat Jenin ini merupakan drama yang menarik. Saya nampak ada Mat Jenin dari Semenanjung yang telah gagal dengan angan-angan besar mereka membentuk kerajaan pada 16 September dan sekarang ini mereka cuba memasang angan-angan baru untuk memenangi hati rakyat.
''Apa yang jelas, selepas mereka gagal pada 16 September, apa juga janji baru yang mereka buat hanya diketawakan oleh orang ramai,'' katanya kepada pemberita di kediaman Exco Penerangan Negeri, Datuk Sapawi Ahmad di Kampung Ketiau, dekat sini hari ini.
Ahmad Shabery berkata demikian sebagai mengulas hasrat PKR untuk menawan Sabah dan Sarawak tahun depan.
Ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden PKR pada Kongres Nasional Tahunan Kelima PKR di Kuala Lumpur, semalam, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, sasaran itu akan direalisasikan dengan penambahan anggota parti seramai sejuta orang menjelang tahun depan.
Dr. Wan Azizah yakin kerjasama ikhlas antara PKR, PAS serta DAP menerusi Pakatan Rakyat mampu memberi harapan baru kepada rakyat negara ini.

No comments: