Thursday, April 30, 2009

Siapa sebenarnya memuja semangat perkauman



DAKWAAN yang telah dibuat oleh Prof. P. Ramasamy berhubung dengan ketidakseimbangan pengambilan pekerja sektor awam di negeri itu sangat tidak bertanggungjawab serta merupakan satu lagi cubaan untuk menyemarakkan lagi sentimen anti-UMNO secara khususnya dan Melayu amnya di kalangan masyarakat bukan Melayu di negeri itu.
Tidak menghairankan kerana itulah sahaja satu-satunya cara bagi kerajaan pakatan pembangkang untuk mengekalkan kuasa mereka.
Di kawasan-kawasan majoriti bukan Melayu mereka akan menggunakan propaganda palsu seperti tuduhan melulu Timbalan Menteri Kedua Pulau Pinang itu, dengan harapan menggabungkan masyarakat bukan Melayu untuk membenci UMNO; manakala di kawasan-kawasan majoriti Melayu pula mereka akan memecah-belahkan masyarakat Melayu dengan menggunakan tuduhan rasuah, konspirasi, Anwar Ibrahim dan sebagainya.
Dan persoalan yang perlu dijawab ialah mengapa UMNO yang bukan majoriti di Pulau Pinang dalam kerajaan negeri sebelum ini yang dituduh? Mengapa tidak Barisan Nasional (BN), atau lebih spesifik lagi Gerakan yang menduduki kerusi Menteri Besar serta mempunyai kuasa penuh? Soalan yang kedua pula, mengapa perlu menunjukkan bukti-bukti dakwaan tersebut dalam Dewan Undangan Negeri, di mana wakil-wakil rakyat mempunyai imuniti? Mengapa tidak di luar, di mana beliau boleh disaman jika dakwaan tersebut tidak benar?
Tetapi apakah kesan tuduhan tersebut terhadap perhubungan antara kaum? Diminta Prof. Ramasamy meninjau dalam Internet untuk melihat respons terhadap dakwaan beliau tersebut, di mana kita akan melihat sentimen benci Melayu adalah jauh lebih banyak daripada benci terhadap UMNO. Oleh kerana 'kononnya' Utusan Malaysia hanya dibaca oleh penyokong-penyokong kerajaan, kita boleh membuat andaian bahawa penyokong-penyokong antikerajaanlah yang seperti mana kita ketahui telah memboikot akhbar-akhbar arus perdana, merupakan golongan yang paling banyak melayari media alternatif, sekali gus yang paling banyak 'menyumbang' kepada kutukan dan penghinaan terhadap kaum Melayu seperti yang diperlihatkan dalam pelbagai blog dan halaman web.
Siapakah yang lebih perkauman sebenarnya? Adakah UMNO, yang hanya memperjuangkan hak-hak kaum Melayu seperti yang tertakluk dalam Perlembagaan tetapi tidak pernah memperlekehkan kaum-kaum lain? Atau DAP, yang memperjuangkan kesaksamaan tetapi pada masa yang sama cuba untuk menuding jari terhadap satu kaum sebagai punca segala-galanya?
Sebenarnya, jika kita fikirkan secara logik, bukankah dasar UMNO untuk membela rakyat Melayu di Pulau Pinang, seperti yang diketahui umum, terpinggir jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain, juga selari dengan salah satu daripada agenda DAP dan Pakatan Rakyat, iaitu untuk memberi keseimbangan dan keadilan kepada mereka yang terpinggir? Berapakah peratuskah bilangan orang Melayu yang bekerja di sektor swasta di Pulau Pinang berbanding dengan kaum Cina misalnya? Oleh kerana kerajaan negeri dan Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk meletakkan kuota di sektor swasta, bukankah satu-satu nya cara untuk mengimbangi ketidakstabilan di sektor tersebut ialah dengan memberikan lebih perhatian kepada golongan-golongan yang terpinggir, seperti kaum Melayu, di sektor awam?
Yang lebih menarik ialah, adakah dengan menawarkan lebih ramai golongan bukan Melayu ke Pulau Pinang sebagai satu strategi 'rejim' DAP untuk menambahkan lagi pengundi-pengundi bukan Melayu di negeri tersebut sebagai salah satu langkah persiapan untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 kelak, manakala kaum Melayu yang tidak mendapat pekerjaan terpaksa berhijrah ke negeri-negeri lain?
Usaha menanam perasaan benci terhadap UMNO atau UMNO-fobia yang sedang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin kanan pakatan pembangkang adalah satu permainan politik yang berbahaya dan perlu ditangani secara bijak dan tegas oleh pihak kerajaan.
Terdapat beribu-ribu laman web serta blog yang secara terang-terang menunjukkan 'keharmonian' perhubungan antara kaum di negara kita ini, kebanyakannya wujud sejurus sebelum PRU-12. Agenda pakatan pembangkang untuk memburukkan UMNO telah menunjukkan satu kesan sampingan, iaitu bagaimana hinanya imej orang Melayu dan Islam di mata bukan Melayu.
Jika tidak diberi perhatian serius, kita bakal menyaksikan segala yang berlaku di alam maya meletus di alam nyata, tanpa perasaan segan dan hormat lagi.

No comments: