Thursday, April 30, 2009

Pas-DAP masih tidak berubah






AGAK menarik apabila isu agenda pelaksanaan hukum hudud mula menjelma selepas tenggelam sebaik sahaja pembangkang terutama parti Pas meraih lebih banyak sokongan dari pilihan raya sebelum ini.
Jika sebelum ini ada yang menyatakan bahawa budaya politik tanah air sudah berubah melahirkan satu paradigma baru pasca-pilihan raya 8 Mac; ternyata kenyataan ataupun pandangan tersebut meleset dengan polemik politik pembangkang ini.
Yang ketara adalah budaya politik yang masih tidak berubah dalam kalangan pembangkang yang tergapai-gapai dalam politik protes penyokong parti pemerintah.
Pas harus mengakui hakikat bahawa hukum hudud dan pembentukan negara Islam berasaskan kepada Perlembagaan Madinah merupakan antara matlamat parti yang tidak dapat diubah. Ini merupakan asas perjuangan Pas untuk sekian lama.
Walaupun kemunculan kumpulan Erdogan dianggap cuba menampilkan imej 'pembaharuan' atau dinamakan sebagai kumpulan renaissance dalam parti Pas; ternyata ia masih terikat dengan asas ideologi yang sama. Kenyataan Husam Musa tidak boleh dianggap menyeleweng dari amalan parti kerana beliau mempertahankan objektif dan hala-tuju parti yang konvensional.
Bagaimanapun, amalan ini dikatakan songsang dengan persetujuan dalam pakatan pembangkang yang selama ini banyak menyembunyikan hasrat parti komponen untuk bersuara mengenai kepentingan parti masing-masing kerana dikawal oleh pengantaranya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sekurang-kurangnya dengan penjelasan Husam, ia memberi satu kelegaan kepada penyokong parti Pas bahawa kumpulan kepimpinan baru masih berpegang kepada amanat penubuhan parti manakala bagi parti DAP, ia membuka semula ketakutan yang menyelubungi mereka selama ini.
Apabila Karpal Singh menyatakan bahawa 'langkah mayat saya sebelum menubuhkan negara Islam' beberapa tahun lalu, Pas dan DAP tidak berhenti bertikam lidah sehingga berakhir dengan penarikan diri DAP dari barisan alternatif.
Adakah isu hukum, pembentukan negara dan perancangan parti komponen boleh terus disenyapkan oleh barisan pemimpin pakatan pembangkang. Bagaimana isu ini dapat diatasi jika mereka diberikan peluang menubuhkan kerajaan?
Adakah hampir 27 juta rakyat negara ini terpaksa menerima sandiwara pembangkang yang cuba menyembunyikan perbezaan dan sanggup mengorbankan sentimen rakyat semata-mata untuk memenuhi matlamat menjatuhkan kerajaan yang sedia-ada?
Kenyataan Husam turut menerima reaksi Lim Kit Siang yang menyatakan bahawa Husam perlu menjelaskan kedudukan sebenar. Media sering disalahkan kerana dikatakan tidak menyiarkan berita yang benar apabila tidak memihak kepada pembangkang tetapi dalam hal ini, adakah Husam sedia berbuat demikian untuk memujuk masyarakat bukan Islam?
Bagaimana pula reaksi masyarakat Islam jika Husam berbuat sedemikian rupa? Yang penting adalah untuk memastikan bahawa pakatan rakyat tidak memberi isyarat yang salah kepada masyarakat umum semata-mata untuk memenuhi agenda politik masing-masing.
Dalam berhadapan dengan kemelut ekonomi yang berkemungkinan akan menjadi lebih buruk dalam jangka masa beberapa bulan lagi, parti politik harus menghentikan sandiwara politik dan berganding dalam menghadapi isu global ini bersama.
Dalam pakatan sendiri, ada yang bertanggapan bahawa kenyataan Husam bersifat peribadi dan bukan parti. Jika itu merupakan reaksi pemimpin parti komponen dalam pakatan mereka, maka pemimpin atasan parti harus mengeluarkan satu kenyataan yang boleh memberikan gambaran sebenar kepada kesemua ahli mereka dan masyarakat Malaysia umumnya.
Jika tidak, Pas akan dilihat takut kepada penentangan DAP yang dilihat cuba menggunakan Anwar sebagai peraih sokongan. Apa yang akan berlaku kepada pakatan rakyat selepas Anwar merupakan satu dilema yang wajar diberikan tumpuan oleh pakatan jika mahu dilihat relevan dalam pilihan raya akan datang.
Adakah dengan keadaan ini, ia boleh mengundang kepada permulaan keretakan dalam parti yang semenangnya menunggu masa. Apa yang akan berlaku kepada kerajaan negeri yang ditadbir bersama terutama di Perak jika tindakan mencari jalan penyelesaian menjadi buntu? Adakah DAP akan senyap dan Pas menjadi diam sebagaimana dalam pilihan raya yang lalu?

No comments: