Thursday, April 30, 2009

PAS Pulau Pinang ‘memberontak’ di Penanti….


Macam ada yang tak kena antara PAS dengan PKR di Pulau Pinang.Ketika pilihanraya kecil Permatang Pauh Ogos tahun lalu, Badan Perhubungan PAS negeri berkenaan sebulat suara setuju memboikotnya.

Bagaimanapun setelah keadaan meruncing, pimpinan PAS Pusat campur tangan meminta mereka membantu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertanding dengan harapan penasihat PKR itu menjayakan pelan 16 Septembernya.

Akhirnya, walaupun Anwar menang tetapi cerita mahu menawan Putrajaya dari pintu belakang dengan harapan ada 30 ahli parlimen Barisan Nasional (BN) melompat terus jadi kisah lawak .

Kini timbul lagi cerita PAS Pulau Pinang mungkin akan boikot pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti pada 31 Mei nanti.

Sejauh mana mereka serius tidak mahu membantu Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Dr Mansor Othman yang sudah diumumkan sebagai calon pilihanraya kecil itu masih jadi tanda tanya.

Namun mengambil kira kenyataan keras Ketua Pemuda PAS negeri itu, Mohd Hafiz Mohd Nordin dan Yang Dipertua PAS kawasan Permatang Pauh Omar Hassan yang bertegas mahu parti itu letak calon di Penanti, nampaknya pucuk pimpinan pusat parti itu sudah tidak boleh goyang kaki.

Pasti pemimpin PAS di negeri itu tahu apa sebenarnya yang berlaku setelah turut bersama membentuk kerajaan campuran bersama DAP dan PKR di Pulau Pinang selepas pilihanraya umum Mac tahun lalu.

Barangkali perasaan terpinggir yang dirasakan PAS Selangor dalam kerajaan campuran di negeri itu turut dirasai PAS Pulau Pinang tambahan pula parti itu hanya ada satu kerusi sahaja di DUN Permatang Pasir yang diwakili Mohd Hamdan Abdul Rahim.

Mengikut cakap-cakap yang berlegar bunyinya macam hubungan PAS dengan PKR dan DAP di negeri itu sudah meruncing, kusut dan sukar dibendung lagi.

Bagi PAS Pulau Pinang, tiada sebarang hubungan atau kerjasama berlaku antara mereka dengan PKR mahupun DAP selepas pilihanraya umum lalu.

Malah dengar cerita, tidak banyak pertemuan rasmi antara ke tiga-tiga parti itu yang hanya bersekongkol semata-mata mahu mentadbir negeri.

Menyedari PAS seperti melukut tepi gantang, maka tidak hairanlah jika kali ini PAS Pulau Pinang menuntut mereka dibenarkan bertanding di Penanti.

Sebabnya, parti itu bersama-sama bertungkus lumus bekerja dan memenangkan calon PKR dan DAP dalam pilihanraya itu tetapi setelah menang, PAS dinafikan hak dan sumbangan mereka dalam kerajaan negeri.

Barangkali tidak mahu jadi sepah yang dibuang selepas habis madu, PAS Pulau Pinang kini seolah-olah mahu menuntut pengorbanan rakan mereka terutama PKR supaya memberikan kerusi Penanti untuk ditandingi calon PAS.

Menurut kalangan ahli PAS di negeri itu, Anwar kena ingat kemenangannya di Permatang Pauh banyak dibantu oleh ahli-ahli PAS yang ramai di DUN Permatang Pasir dan Penanti.

Mereka merasakan apakah salahnya Anwar berkorban beri satu lagi kerusi pada PAS sebagai tanda setia kawan atau terima kasih.

Seperti kata Omar, keputusan tersebut ada kaitan dengan usul PAS kawasan itu yang mahu meletakkan calonnya bertanding di Penanti dalam mesyuaratnya 19 April lalu.

"Kita masih lagi berpegang dengan usul tersebut kerana ia adalah kehendak akar umbi di situ," katanya.

PAS menganggap kerusi Penanti sebagai kubu kuat parti itu walaupun pada pilihan raya umum lalu ia ditandingi oleh wakil PKR.

"Ini adalah permintaan akar umbi yang mahukan PAS mengambil balik kawasan itu, Pemuda sendiri telah mempunyai calon yang sesuai," kata Mohd Hafiz.

Agendadaily dimaklumkan tiada pemimpin PAS yang hadir ketika Anwar mengumumkan Dr Mansor sebagai calon PKR yang akan bertanding dalam majlisnya malam Rabu.

Dalam pada itu, difahamkan kepimpinan PAS kawasan Permatang Pauh sudah bertemu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Kuala Lumpur untuk memaklumkan mengenai usul tersebut manakala Pemuda pula akan berbuat demikian secepat mungkin sebelum tarikh penamaan calon 23 Mei ini.

Walaupun pada akhirnya PAS Pusat dijangka akan akur dengan membenarkan calon PKR bertanding tetapi ianya pasti akan menjadi bengkak yang terus bernanah dikalangan PAS Pulau Pinang dengan rakan parti campuran itu.

Anwar pastinya tidak mahu mengorbankan kerusi Penanti kepada PAS kerana antara skrip kempen pilihanraya di Penanti nanti adalah ‘jika Dr Mansor menang dia akan jadi Timbalan Ketua Menteri 1.

DUN Penanti mempunyai 15,384 pemilih berdaftar 72.68 peratus daripadanya pengundi Melayu, 24.22 peratus Cina, 2.39 peratus India dan 0.71 peratus lain-lain bangsa.

No comments: