Thursday, April 30, 2009

Perbezaan fahaman politik sukarkan Pas - Zahid


Pas diyakini sukar untuk melaksanakan hukum hudud disebabkan perbezaan fahaman pelbagai parti politik di kalangan pakatan pembangkang di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, meski pun hasrat Pas itu baik, dasar perjuangan parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP juga perlu diambil kira.
"Kalau hajat mereka (Pas) begitu, ia adalah baik dan saya doakan hajat mereka tercapai. Namun, hakikat politik di negara ini tidak begitu," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pegawai Penguat Kuasa Agama dan Pendakwa Syarie yang dihadiri 80 peserta serta melancarkan kod etika pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam negeri-negeri di sini hari ini.
Ahmad Zahid diminta mengulas kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa yang memberi jaminan untuk melaksanakan hukum hudud di seluruh negara jika pakatan pembangkang berjaya memerintah Malaysia pada masa depan.
Menurutnya, pelaksanaan hukum hudud tidak boleh dilaksanakan tanpa melalui proses meminda perlembagaan negara sedia ada.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau memberitahu, jumlah pegawai penguat kuasa agama di seluruh negara kini meningkat kepada 1,242 berbanding 300 orang sebelum ini.
Bagaimanapun, jelasnya, angka itu masih sedikit berdasarkan jumlah penduduk dengan nisbah 1:23,000.
Ahmad Zahid menjelaskan, pihaknya juga bercadang untuk memperkenalkan uniform pegawai penguat kuasa agama bertujuan meningkatkan imej mereka.

No comments: