Thursday, April 30, 2009

Jangan cuba bermain api isu perkataan Allah



PENGGUNAAN perkataan Allah oleh Herald Catholic bulan lalu disanggah oleh banyak pihak. Ramai yang melihat akhbar mingguan dari Sabah itu sebagai tidak sensitif. Ia dikatakan cuba bermain api.
Sewaktu negara berdepan dengan pelbagai konflik, isu seperti itu boleh menyemarakkan sentimen antara agama.
Maka, amaran oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi perlu diberi perhatian serius. Memang betul kata beliau, jangan cabar kesucian Islam. Jangan bangkitkan kemarahan umat Islam. Perkataan Allah bukan untuk dipersenda dan digunakan sewenang-wenangnya.
Larangan penggunaan perkataan Allah untuk agama lain bukan isu baru. Ia sudah termaktub dalam undang-undang negara. Sebelum ini ia diterima berdasarkan persefahaman agama lain berhubung sensitiviti "Allah" kepada penganut Islam.
Tetapi kini, Herald Catholic cuba menghidupkan semula isu tersebut. Tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Dompok merayu Kementerian Dalam Negeri memberi kelonggaran kepada Herald Catholic pula sekali gus mencetuskan polemik terbaru.
Sebagai menteri yang arif dengan Perlembagaan dan undang-undang negara, Dompok pastinya tahu sejauh mana sensitifnya umat Islam dengan isu tersebut. Beliau tidak sepatutnya menyemarakkan sentimen antara agama.
Jangan samakan Malaysia dengan Indonesia. Dompok dan pemimpin Kristian lain perlu sedar Malaysia sebuah entiti yang sangat berbeza dengan negara jiran itu.
Indonesia dikenali sebagai negara yang serba bebas dalam isu agama. Peraturan di negara itu sangat berlainan berbanding di sini. Di negara itu, unsur liberal melampau sering mengambil tempat. Perkahwinan antara penganut Islam dan penganut agama lain direstui dalam sistem perundangan dan masyarakatnya.
Keadaan itulah yang membezakan Malaysia dan Indonesia.
Jika perkataan Allah dibenarkan dalam terbitan agama lain di sini, ia dikhuatiri akan mengelirukan umat Islam, terutama golongan muda.
Paling dibimbangi, penggunaan perkataan itu juga mempunyai agenda tersembunyi. Kita tidak mahu wujud usaha penyebaran dakyah secara tidak langsung menerusi penggunaan perkataan Allah tersebut.
Sudah cukup serangan daripada pelbagai sudut terhadap umat dan kesucian Islam di negara ini selama ini. Kita tidak mahu wujud lagi provokasi yang boleh menjejas dan mempersendakan agama suci ini.
Malaysia tidak boleh membiarkan apa yang dilakukan oleh penganut Kristian di negara Arab berlaku di sini.
Mereka di sana menggunakan Allah untuk merujuk kepada Isa sebagai anak Allah. Konsep itu sangat mengelirukan jika dibiarkan diguna pakai di negara ini.
Memang ada hujah bahawa penggunaan Allah oleh penganut Kristian sekali gus menunjukkan mereka menidakkan konsep Triniti dalam agama itu. Ini kerana makna Allah merujuk kepada "Tuhan Maha Esa".
Namun kita perlu sedar bahawa pemahaman dan perbandingan itu mungkin boleh diterima di kalangan penganut Islam yang tinggi ilmunya. Apa yang kita bimbang ia akan difahami secara sebaliknya oleh golongan muda dan baru berjinak untuk mendalami Islam.
Kita bimbang akidah terpesong daripada Islam kerana terpesona dengan perkataan Allah dalam agama lain yang akhirnya dianggap sebagai "semua agama adalah sama".
Bagaimanapun untuk tidak menyemarakkan kontroversi dan provokasi, patuhilah apa yang sudah termaktub di dalam undang-undang.
Jangan cuba menangguk di air keruh. Fahamilah sensitiviti agama lain.
Kita sudah pasti tidak mahu tindakan keras seperti Akta Dalam Negeri diguna pakai untuk menyelesaikan isu yang boleh diselesaikan menerusi persefahaman.

No comments: