Thursday, April 30, 2009

Muafakat pembangkang sangat rapuh





''MATLAMAT kita semua adalah sama... untuk menumbangkan UMNO dan Barisan Nasional," pekik Lim Kit Siang pemimpin de facto DAP kepada ribuan pendengar berkopiah yang duduk bersila di atas pasir di sebuah kawasan lapang di Kampung Tanjong, tepi muara Kuala Terengganu pada malam 6 Januari, hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil kawasan Parlimen Kuala Terengganu.
Itu adalah ceramah perdana sulung Pakatan Rakyat untuk calon mereka, Abdul Wahid Endut dari Pas.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat serta Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut berada di pentas itu dan berucap selepas Kit Siang.
Nada dan mauduk mereka adalah sama, iaitu meminta para pengundi di kawasan Parlimen Kuala Terengganu memilih Wahid bagi meneruskan gelombang 'tsunami politik' yang melanda pada 8 Mac 2008, hari Pilihan Raya Umum Ke-12.
Di depan pentas itu, berkibar sehelai bendera besar Pas dan pada sebatang tiang lagi berkibar pula bendera Pas, PKR dan DAP. Bendera Pas yang lebih besar daripada dua bendera lain yang berada paling atas. Di bawahnya ialah bendera PKR yang kecil sedikit, diikuti bendera roket DAP yang lebih kecil.
Apa salahnya jika bendera-bendera tiga parti itu sama besar sungguh pun majlis itu anjuran Pas dan berlangsung di kawasan Melayu yang menyokong parti kopiah putih itu? Bagi penulis, ia melambangkan satu muafakat politik yang tidak kukuh.
Anwar dalam ucapannya menegaskan bahawa kehadiran mereka membuktikan bahawa muafakat dan kerjasama dalam Pakatan Rakyat adalah kukuh, tidak sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh media perdana yang dikuasai Barisan Nasional (BN).
Cakap-cakapnya itu hanya menambah kesangsian. Selepas hanya 10 bulan Pakatan Rakyat memerintah lima negeri, perpaduan dan kemuafakatan Pakatan Rakyat yang dianggotai Pas, PKR dan DAP semakin diragui.
Di Selangor, Pesuruhjaya Pas Negeri, Datuk Hassan Ali telah memberitahu media secara terbuka bahawa partinya tidak puas hati mengenai beberapa perkara yang tidak dilaksanakan oleh kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dari PKR.
Pendedahan Hassan itu mengejutkan ramai orang kerana beliau adalah anggota Exco kanan kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor.
Di Perak pula berlaku pergaduhan peringkat bawahan antara Pas dan PKR. Terbaru berlaku pertikaman lidah antara pemimpin-pemimpin tinggi DAP dan Pas berhubung hukum hudud yang kata Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa akan dilaksanakan jika Pakatan Rakyat membentuk Kerajaan Persekutuan. Kit Siang dan Karpal membantah keras.
Perkembangan ini mencetuskan pertanyaan. Jika baru 10 bulan memerintah negeri mereka sudah bertelagah, bagaimana mahu memerintah di peringkat Persekutuan sebagaimana yang BN berjaya lakukan selama 51 tahun bermula dengan zaman kerajaan Perikatan.
Perbezaan ideologi yang sangat ketara dengan Pas memperjuangkan Islam, DAP mahu menegakkan Malaysian Malaysia (semua kaum sama rata) dan PKR masih dianggap sebuah parti yang wujud hanya sebagai alat kepada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri, cita-cita yang tidak akan kunjung padam sehingga ke akhir hayatnya.
Apakah Pas, DAP dan PKR boleh mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil jika diberi peluang sedangkan muafakat dan kerjasama mereka sekarang hanyalah diikat longgar oleh matlamat untuk menumbangkan UMNO dan BN?
Samar
Jika dalam BN parti UMNO adalah jelas menjadi ketua dan Perdana Menteri bersilih ganti datangnya dari parti itu, kedudukan dalam Pakatan Rakyat adalah samar. Buat ketika ini mereka menonjolkan Anwar sebagai Perdana Menteri, tapi selepas Anwar siapa yang akan mengambil alih?
Bolehkah Pas dan DAP menerima terus menerus pemimpin PKR yang akan menggantikan Anwar sebagai Perdana Menteri? Atau bolehkah Pas menerima Kit Siang sebagai Perdana Menteri dan sebaliknya bolehkah DAP menerima Hadi?
Persoalan ini tidak boleh dianggap kecil oleh rakyat Malaysia kerana dalam jangka panjang ia akan melibatkan kestabilan dan keamanan negara. Suasana politik di Thailand seharusnya menjadi iktibar kepada rakyat Malaysia yang tergila-gilakan Pakatan Rakyat selepas digula-gulakan dengan slogan Perubahan Untuk Kemenangan Rakyat.
Menumbangkan sebuah parti lain yang memerintah bukanlah matlamat sebenar politik demokrasi. Matlamat sebenar adalah untuk membawa perubahan ke arah yang lebih baik.
Jika Pakatan Rakyat mahu meyakinkan rakyat bahawa benar-benar serius untuk membawa perubahan, mereka sendiri hendaklah menunjukkan bukti wujudnya muafakat dan kerjasama tulen antara Pas, DAP dan PKR bermula sekarang.
Maka kepada soalan benarkah Pakatan Rakyat merupakan alternatif yang lebih baik kepada BN, rakyat perlu mendapatkan jawapan yang tepat sekarang. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak pilih menyesal kemudian tidak berguna.
Jika Pakatan Rakyat benar-benar sebuah pakatan yang kukuh, wajar ditanya kenapa mereka masih bertanding di atas lambang masing-masing, tidak menggunakan satu lambang seperti BN? Pas dengan bulan gerhananya, DAP dengan roketnya dan PKR dengan 'mata.'
Tanpa bernaung di bawah satu lambang seperti BN, maknanya ketiga-tiga parti itu masih tidak ikhlas dan kukuh dalam muafakat mereka. Mereka masih saling mencurigai.
Maka andainya ditakdirkan mereka berkuasa kelak, dalam tempoh yang tidak panjang, muafakat yang longgar itu pasti akan terurai jika tidak terputus.
Jika itu berlaku, rakyat Malaysia akan berhadapan dengan suasana baru yang lebih tidak menentu dan tidak stabil. Barangkali sama seperti Thailand atau lebih teruk lagi.

No comments: