Wednesday, October 29, 2008

Ingat fakta sejarah Tanah Melayu


KENYATAAN Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe telah mengundang kontroversi. Pertama, berdasarkan sejarah kata beliau, orang Melayu adalah juga pendatang sama seperti orang Cina dan India. Kedua, dengan nada sinis beliau menyindir UMNO bahawa parti Gerakan selama ini berada dalam telunjuk UMNO. Gerakan tidak mempunyai suara dalam menentukan keputusan kerajaan.

Publisiti murahan jelas menunjukkan bahawa beliau seolah-olah pakar dalam bidang sejarah dan menarik perhatian serta sokongan orang Cina yang telah kecewa dengan Gerakan. Saya tidak pasti apakah latar belakang sebenar kelulusan Lian Hoe sehingga menyebabkan kenyataan seperti ini dikeluarkan.

Saya mungkin dapat menerima serba sedikit pendapat ini jika beliau adalah pakar sejarah. Jika tidak, mungkin ada agenda tersembunyi yang perlu kita lihat secara serius.

Ini kerana selepas pilihan raya umum baru-baru ini, ada beberapa parti komponen Barisan Nasional cuba menggunakan kesempatan ini untuk mengugut UMNO dan kerajaan. Mereka tahu, UMNO kini berada dalam kedudukan yang agak lemah. UMNO memerlukan sokongan parti-parti komponen bukan Melayu untuk memerintah. Justeru, peluang ini digunakan untuk mencapai hasrat yang sekian lama terpendam, termasuk mempertikaikan hak-hak istimewa orang Melayu.

Lian Hoe perlu sedar bahawa kemenangan beliau di Parlimen Gerik dalam pilihan raya lalu adalah hasil sokongan pengundi Melayu UMNO. Jika kerusi Gerik itu tidak diberikan kepada Gerakan dan UMNO tidak mengundi beliau, tidak mungkin ada Lian Hoe pada hari ini sebagai Timbalan Menteri Penerangan. Itupun beliau masih tidak bersyukur dan amat kiasu.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa ada sebahagian orang Cina tidak dapat menerima hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang berasaskan kepada sistem kenegaraan Melayu atau Malay Polity. Perlu diingatkan bahawa sejarah sistem kenegaraan Melayu bermula dengan perkataan 'Melayu' atau 'Tanah Melayu' itu sendiri yang bermaksud wilayah dan kepulauan di rantau ini.

Nama-nama ini terkenal di kalangan negara China, India dan Barat seperti Melayu (I-Tsing), Malaiur (Marco Polo), Malaiyur (inskripsi Tanjore-Sanskrit di India), Ma- Li-Yu-R (Yuan Shih/Cina), Mailiur (Siam) dan Malayo (Albuquerque/ Portugis).

Hujah ini menunjukkan bahawa dari abad ke-6 hingga ke-10, perkataan Melayu adalah nama tempat dan bukannya nama khusus bagi rumpun bangsa. Hanya pada abad ke-11 barulah perkataan Melayu mulai dipakai bagi menamakan rumpun bangsa.

Ringkasnya, istilah-istilah Tanah Melayu, Melayu, Malaysia dan Malaya adalah jelas merujuk kepada negeri-negeri Melayu atau Tanah Melayu atau Land of the Malays. Fakta ini menunjukkan bahawa Tanah Melayu (Malaysia) adalah kepunyaan satu bangsa yang bernama Melayu. Namun, kedatangan penjajah British telah merubah peta politik Tanah Melayu.

Kalau dahulu, hubungan antara antara China dan Tanah Melayu hanya melibatkan perdagangan dua hala sahaja, tanpa penghijrahan besar-besaran. Namun, setelah penjajahan berlaku, maka bermulalah episod kemajmukan masyarakat di negara ini berasaskan kepada sistem kenegaraan Melayu.

Orang Cina yang mendatang dapat menjadi warganegara disebabkan oleh proses akomodasi orang Melayu dalam memberikan kewarganegaraan secara terbuka kepada yang berhak tanpa mengira latar belakang.

Diterima

Melalui proses akomodasi para pemimpin ketika itu, lebih sejuta orang bukan Melayu, sebahagian besarnya imigran, diterima secara automatik sebagai warganegara dan diberikan Jus Soli. Demografi negara berubah serta merta.

Hampir 40 peratus daripada warganegaranya adalah orang bukan Melayu. Sebuah negara Melayu tiba-tiba menjadi masyarakat berbilang kaum. Keadaan ini tidak pernah berlaku dalam sejarah dunia. Contohnya, nasionalisme bangsa Filipina dan Vietnam melahirkan negara Filipina dan Vietnam tetapi nasionalisme Melayu yang diperjuangkan lama sebelum kemunculan UMNO sebaliknya tidak melahirkan sebuah negara Melayu.

Sebelum tahun 1910, kemasukan orang asing semakin bertambah tanpa had telah mengejutkan sultan negeri-negeri Melayu Bersekutu. Mereka memaksa British menghalangnya. Tetapi keperluan pekerja yang mendesak dalam bidang perlombongan dan perladangan menjadi kemasukan mereka tidak boleh ditahan-tahan lagi.

Setiap tahun ribuan pendatang Cina dan India tiba di Tanah Melayu. Sehingga tahun 1931, apabila bancian dibuat, jumlah orang bukan Melayu telah melebihi bilangan orang Melayu di negeri mereka sendiri (Comber, 2007: xx).

Seramai 1,285,000 orang Cina berada di Tanah Melayu, 33.9 pertumbuhan penduduk ketika itu. Pada tahun 1947, jumlah ini terus meningkat kepada 1,885,000, mewakili 38.4 peratus pertumbuhan penduduk. Dalam kajian yang dilakukan oleh Ardizzone (1946), sebenarnya jika dicampurkan dengan imigran lain, bilangan mereka telah melebihi penduduk asal pada tahun 1946 sehingga menimbulkan kebimbangan kepada penduduk asal (Melayu).

Apabila Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945, British kembali semula memerintah Tanah Melayu. Usaha-usaha dilakukan untuk memupuk perpaduan kaum dan semangat muhibah.

British mengumumkan rancangan Malayan Union pada tahun 1946. Dalam rancangan ini, British mahu menubuhkan sebuah negeri bersatu dan mencipta satu kewarganegaraan yang sama rata untuk semua kaum. Kerajaan British berkuasa penuh terhadap pentadbiran Tanah Melayu.

British berpendapat dengan wujudnya pentadbiran secara berpusat pentadbiran Tanah Melayu akan menjadi lebih berkesan dan efisien.

Mereka bersetuju memberikan kemerdekaan kepada negara orang Melayu, hanya jika mereka bersetuju berkongsi kuasa politik dan ekonomi dengan kaum-kaum yang mendatang (Ling Liong Sik, 1995: 4). Melalui proses akomodasi inilah akhirnya peta Tanah Melayu berubah menjadi masyarakat majmuk.

Bagi memudahkan urusan pentadbiran, British telah mencipta satu istilah bernama Malayan. Malayan dirujuk bukan Melayu yang telah bermastautin lama atau dilahirkan di Malaya. Manakala istilah Melayu atau Malaysians digunakan untuk orang Melayu, Indonesia dan Orang Asli.

Antara ciri Perlembagaan Malayan Union ialah kerakyatan melalui undang-undang berasaskan prinsip jus soli diperkenalkan yakni melalui kuat kuasa undang-undang dan secara permohonan atau kemasukan. Orang Melayu akan menjadi warganegara Malayan Union secara automatik, manakala orang bukan Melayu yang ingin menjadi warganegara perlu memenuhi kelayakan-kelayakan bermastautin, kelahiran dan sebagainya.

Antara raja-raja Melayu dengan kerajaan British, satu perjanjian baru diwujudkan. Raja-raja Melayu diminta menyerahkan kedaulatan negeri masing-masing kepada British. Undang-undang baru akan diperkenalkan bagi pihak raja-raja.

Ini bermakna, British akan terus menjajah negeri-negeri Melayu termasuk negeri-negeri Selat. Orang Melayu melihat ia adalah satu ancaman kepada hak-hak mereka dan memberi keuntungan kepada orang bukan Melayu (Ongkili, 1985: 39-42, Ruslan Zainuddin, 2005: 550-563, Comber, 2007: xxi).

Reaksi orang Melayu terhadap Malayan Union (Ongkili, 1985: 42-52) memang telah dirasai dan diduga oleh orang Cina sebagai kaum yang mendatang. Orang Cina memang tahu bahawa orang Orang Melayu tidak begitu mudah menerima orang Cina sebagai rakyat Tanah Melayu. Dengan sebab itu, sejak awal-awal lagi orang Cina telah bersiap sedia untuk menghadapi keadaan seperti ini. Mereka mengambil sikap 'tunggu dan lihat' bagi melindungi kepentingan mereka.

Orang Cina menyuarakan pandangan mereka terhadap Malayan Union melalui pelbagai cara seperti pertubuhan, kesatuan dan akhbar-akhbar Cina.

Jelas di sini bahawa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan media massa Cina memainkan peranan penting dalam sosialisasi politik Cina. Inilah bentuk dan sikap masyarakat Cina sejak daripada awal lagi berhijrah ke Tanah Melayu. Mereka tidak akan membiarkan dirinya keseorangan.

Tidak Logik

Mereka sedar bahawa dengan menubuhkan persatuan, adalah satu-satunya cara yang terbaik untuk memperjuangkan, mempertahankan dan menjaga hak-hak dan kebajikan mereka. Selepas merdeka, keberanian orang Cina semakin ketara apabila Lee Kuan Yew menyuarakan perjuangan Malaysian Malaysia iaitu Malaysia untuk orang Malaysia. Perjuangan ini disambung oleh DAP sehingga ke hari ini.

Dalam Malaysian Malaysia itu nanti kedudukan yang tinggal pada orang Melayu hanya sultan-sultan. Jawatan lain akan dijawat oleh mereka yang berkelayakan tanpa mengira kaum. Kuan Yew memberikan tempoh 20 tahun sahaja kepada Malaysia berperdanamenterikan orang Melayu. Selepas itu sesiapa sahaja boleh menjadi Perdana Menteri.

Kuan Yew secara terang-terang menolak hak-hak istimewa orang Melayu. Katanya, "Mengikut Sejarah orang-orang Melayu telah mula berhijrah ke Malaysia dalam bilangan kecil, cuma kira-kira 700 tahun yang lalu.

Daripada 39 peratus orang Melayu di Malaysia hari ini, kira-kira satu pertiga daripada mereka adalah pendatang-pendatang baru seperti Setiausaha agung UMNO, Syed Jaafar Albar, yang telah datang ke Tanah Melayu dari Indonesia sebelum perang, ketika berusia lebih daripada 30 tahun.

Oleh itu, adalah salah dan tidak logik bagi sesuatu kumpulan yang tertentu itu memikirkan bahawa hanya mereka sahaja adalah lebih adil dipanggil rakyat Malaysia dan orang lain boleh menjadi rakyat Malaysia hanya dengan kegemaran mereka".

Pendek kata, Kuan Yew juga menolak pendapat bahawa orang-orang Melayu adalah Bumiputera gugusan Pulau-Pulau Melayu (Comber, 2007: 114-115).

Kenyataan Kuan Yew ini terus mempengaruhi masyarakat Cina pada hari ini. Lebih dahsyat lagi ada yang berani mengatakan bahawa bumiputera yang sebenar adalah orang asli, dan bukannya orang Melayu. Orang Melayu juga adalah pendatang seperti orang Cina.

Ini bermakna seolah-olah orang Cina menolak negara ini berasaskan kepada sistem kenegaraan Melayu. Justeru, tidak hairan jika perkara berkaitan hak-hak istimewa orang Melayu tidak mendapat sokongan orang Cina sama ada secara individu, persatuan mahupun parti-parti politik Cina. Mereka menganggap bahawa keistimewaan orang Melayu bersifat sementara.

Mereka mendesak supaya peningkatan terhadap hak-hak mereka turut dilakukan berpegang kepada prinsip kesamarataan.

Sementara orang Melayu berkeras dengan merujuk kepada sejarah hak bumiputera mesti pertahankan dan diberi keistimewaan khusus. Sehingga kini, pertikaian tidak berkesudahan. Orang Melayu mempertahankan kedudukan mereka yang istimewa melawan bukan Melayu (Cina) yang menuntut kesamarataan.

Ketidakpuasan hati orang ini disalurkan melalui akhbar-akhbar berbahasa Cina, ucapan-ucapan awam dan perbualan sesama mereka, sehingga menimbulkan salahfaham dan kadangkala berlaku ketegangan dalam hubungan kaum di Malaysia.

Kesimpulannya, sudah sampai masanya parti Gerakan belajar memahami sejarah negara dan berhenti mengamalkan politik mengugut untuk mendapatkan kepentingan tertentu.

Janganlah gunakan kelemahan yang wujud hari ini untuk mendapatkan publisiti murahan dan mengugut UMNO bagi menunjukkan seolah-oleh merekalah sahaja pejuang rakyat di negara. Tetapi berfikirlah lebih jauh lagi untuk kepentingan rakyat di negara ini.

Pembangkang terdesak


Sebagai seorang rakyat Malaysia saya merasa amat sedih dengan perkembangan politik negara mutakhir ini. Perbuatan fitnah, pembohongan dan gejala lempar batu sembunyi tangan nampaknya semakin berleluasa. Arena politik yang sepatutnya menjadi arena persaingan idea dan polisi telah menjadi begitu memualkan.

Saya amat pelik kenapa pihak pembangkang terutama Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak akhir-akhir ini begitu ghairah dan berminat menyerang karakter dan pertimbangan Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pelbagai isu.

Mungkinkah peningkatan serangan karakter dan pertimbangan ini ada kaitan dengan hakikat bahawa proses peralihan kuasa dalam UMNO dan kerajaan Malaysia sedang berjalan lancar dan proses ini terbukti berjaya menambahkan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) semenjak Pilihan Raya Umum ke-12 Mac 2008 yang lalu.

Jika ya, ternyatalah ia tindakan desperado politik yang mahu menunaikan cita-cita peribadi untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia dengan apa cara sekalipun tanpa mengira kesannya kepada negara dan rakyat.

Sebenarnya, kita sebagai pengundi sepatut lebih kritis dalam menilai individu ini yang menawarkan penubuhan kerajaan alternatif kepada rakyat Malaysia. Karakter dan pertimbangan Anwar perlu diperhalusi oleh sebab beliau pernah menganggotai Jemaah Menteri selama 15 tahun (1983-1998) termasuk tujuh tahun sebagai Menteri Kewangan (1991-1998).

Pertamanya kita perlu mempersoalkan karakter dan pertimbangan Anwar sebagai Menteri Kewangan ketika menangani krisis kewangan dan ekonomi yang melanda negara sepuluh tahun yang lalu. Bukankah beliau ketika itu telah mengambil keputusan-keputusan yang jika tidak dihentikan dengan pemecatan beliau pada September 1998, berpotensi meranapkan ekonomi negara?

Bukankah tindakan beliau menerima pakai dasar-dasar kewangan serta fiskal yang berasaskan konsensus Washington dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) ketika itu telah menyusahkan rakyat?

Ingatkah rakyat ketika beliau memeritkan kita dengan menaikkan kadar faedah, mengklasifikasikan semula definisi hutang tidak berbayar kepada tiga bulan daripada enam bulan sebelum itu lalu menimbulkan masalah kepada bank dan syarikat-syarikat, memotong perbelanjaan kerajaan sehingga dua puluh peratus (secara efektifnya memotong keseluruhan perbelanjaan pembangunan kerajaan) serta menentang penyelamatan syarikat dan bank.

Berapa ramai daripada rakyat kita yang telah kehilangan pekerjaan hasil kesilapan pertimbangan beliau? Berapa ramai pula yang telah jatuh bankrap dan berapa banyak syarikat yang terpaksa gulung tikar.

Hari ini strategi ekonomi yang diguna serta dipertahankan Anwar sepuluh tahun lalu terbukti silap apabila negara-negara Barat sendiri (yang mana yang menjadi rujukan falsafah pengurusan ekonomi Anwar), kini sibuk dengan aktiviti penyelamatan syarikat gergasi dan institusi kewangan mereka.

Bagaimana kita hendak mempertimbangkan secara serius malahan mempercayai apa-apa saranan Anwar tentang ekonomi dan kewangan, termasuk saranannya bahawa kerajaan perlu membentangkan semula bajet jika jelas terbukti dirinya adalah seorang pengurus ekonomi yang gagal.

Kedua, jurang di antara janji dan realiti. Beliau berjanji kepada rakyat untuk menubuhkan kerajaan pada tanggal 16 September tetapi beliau gagal menubuhkannya atau tarikh-tarikh yang diberikannya kemudian. Pelbagai alasan diberikan kenapa beliau gagal menubuhkan kerajaan.

Sepatutnya sebagai seorang yang beraspirasi untuk menjadi pemimpin negara beliau hendaklah jujur dan berterus terang dengan rakyat, jangan berjanji jika tidak dapat menunaikannya.

Jika dalam janji yang sebesar dan sepenting menubuhkan kerajaan, beliau tidak dapat berterus terang dan jujur kepada rakyat, bagaimana pula janji-janji yang lain seperti menjaga kepentingan orang Melayu dan bumiputera setelah berjaya memansuhkan agenda Dasar Ekonomi Baru (DEB)?

Janganlah beliau memperolok-olokkan rakyat Malaysia. Cukuplah rakyat dipermainkan dengan teka-teka ini yang sudah sah adalah angan-angan Mat Jenin!

Tiada siapa berhak persoal kenyataan raja-raja


KUALA LUMPUR 18 Okt. - Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, tidak ada siapa pun di negara ini yang berhak mempersoal peringatan raja-raja Melayu berhubung kedudukan orang Melayu dan agama Islam.

Beliau berkata, walaupun ada yang berpendapat soal Kontrak Sosial boleh dipertikaikan namun harus diingat, kenyataan akhbar khas raja-raja Melayu menyebut dengan jelas perkara itu telah terkandung dalam Perlembagaan.

''Jadi siapa mereka sama ada dalam UMNO, BN atau pembangkang, mereka tidak boleh persoalkan. Ia telah ada dan peringatan raja-raja Melayu jelas iaitu jangan bermain api dengan perkara yang telah dipersetujui.

''Raja-raja berhak sebagai payung di mana kita bernaung untuk mengeluarkan titah peringatan itu. Kalau kita dalam konsep Rukun Negara, titah itu mesti dijunjung,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dilaporkan berkata, rakyat berhak mempersoalkan Kontrak Sosial sekiranya wujud kepincangan dalam pelaksanaannya.

Sementara itu, menurut Muhyiddin, peringatan raja-raja Melayu yang dinyatakan dalam kenyataan akhbar khas kelmarin disifatkannya sebagai sesuatu yang cukup bersejarah kerana jarang-jarang sekali untuk raja-raja berbuat demikian.

Namun, katanya, dengan perkembangan semasa dan apabila ada suara-suara yang mula membangkitkan isu-isu sensitif, maka raja-raja Melayu memahami bahawa situasi itu tidak boleh dibiarkan berlarutan.

''Raja-raja kita ternyata berjiwa rakyat, mereka peka dengan apa yang berlaku di bawah. Mereka dengar suara-suara yang ditimbulkan.

''Mereka juga faham isu-isu ini sesuatu yang sensitif, kalau dilepas bebas maka ini boleh timbulkan masalah besar bagi negara,'' jelasnya.

Beliau berkata, oleh itu, semua pihak di negara ini perlu menghormati kenyataan dan peringatan raja-raja Melayu.

''Raja-raja Melayu buat peringatan kepada perkara yang telah disepakati dan terkandung dalam Perlembagaan. Atas dasar itu kita harus hormati. '' tegasnya.

Sementara itu, Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik berkata, kontrak Sosial tidak seharusnya dijadikan isu politik memandangkan ia adalah asas yang telah membina Malaysia ke landasan yang terbaik seperti sekarang.

Katanya, melalui Kontrak Sosial, Malaysia telah mencapai banyak kejayaan terutama dari segi ekonomi.

"Di manakah yang dikatakan hak rakyat negara ini terjejas apabila pencapaian semua kaum dalam aspek ekonomi berkembang dengan sangat ketara?

"Kita sepatutnya berterima kasih kerana wujudnya dasar-dasar seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang memastikan semua kaum di negara ini tidak ketinggalan dalam mencapai kesejahteraan," katanya pada sidang media selepas Majlis Rumah Terbuka Risda di sini hari ini.

Di KOTA KINABALU, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, kenyataan akhbar khas raja-raja Melayu yang disiarkan semalam tidak harus dilihat sekadar satu peringatan.

Menurut beliau, kenyataan akhbar tersebut sebaliknya merupakan titah raja-raja Melayu yang perlu dihormati dan dipatuhi oleh semua pihak.

''Mana-mana pihak tidak perlu lagi mempersoalkan apa yang telah termaktub dalam perlembagaan. Kedudukan Raja-Raja, agama Islam, orang Melayu dan bumiputera tidak boleh dibangkitkan supaya tidak timbul masalah kemudian hari.

''Ini adalah titah daripada institusi paling tinggi dalam negara iaitu institusi Raja-Raja yang tidak boleh dianggap kecil atau sekadar peringatan sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusi Mesyuarat Penasihat Perpaduan Negara (Panel), di sini hari ini.

Jangan padam fakta negara

PRESIDEN MCA, Datuk Ong Ka Ting berkata, sebab utama komuniti Cina berang dengan kenyataan Datuk Ahmad Ismail yang menganggap mereka sebagai pendatang adalah kerana "nenek moyang mereka telah berkorban untuk negara ini lama sebelum negara ini mencapai kemerdekaan."

Saya tidak pasti sama ada boleh bersetuju dengan pendapat Ka Ting itu. Sebagai generasi muda keturunan bukan Melayu saya ragu-ragu dengan kebenaran kenyataan itu.

Benarkah nenek moyang kita telah berkorban untuk negara ini melalui kerja keras setelah berhijrah dari benua China ke Malaysia, dulunya Tanah Melayu?

Atau kerja keras yang dilakukan itu adalah pengorbanan untuk membebaskan diri mereka daripada kehidupan yang melarat sewaktu berada di negara asal mereka sehingga ada antara kita menjadi kaya raya dan tidak mahu lagi balik ke China atau India atau Indonesia?

Sebagai pelajar sejarah, saya lebih cenderung untuk percaya bahawa nenek moyang saya yang datang ke negara ini bekerja siang malam bukan sangat ingin berbakti kepada Tanah Melayu, seperti yang didakwa oleh Ong Ka Ting, tetapi lebih untuk memajukan diri supaya kesengsaraan kehidupan mereka sebelum itu berjaya diatasi.

Pengamatan ini saya buat setelah membaca buku V. Purcell berjudul Chinese in Malaya. Dalam buku itu, pengarang Inggeris itu antara lain merumuskan, " in Malaya their main concern was to make enough to retire to China as soon as possible ."

Menurut Purcell, matlamat Inggeris membawa pendatang asing China dan India adalah untuk memeras kerajinan mereka bekerja bagi meraih keuntungan ekonomi kepada kuasa Eropah itu. Tidak tertulis - secara tersurat atau tersirat yang pendatang China itu dibawa ke Tanah Melayu untuk memberi pengorbanan bagi membangunan negara ini.

Dengan kata-kata lain, kedatangan komuniti dari China ke negara ini bukan untuk berbakti untuk Tanah Melayu seperti yang didakwa oleh Kah Ting tetapi untuk meneroka atau malah memeras kekayaan negara Melayu ini, membuat sebanyak mungkin kekayaan pada waktu yang singkat, kemudian hidup untuk senang lenang di negara asal mereka.

Ka Ting dan warga Malaysia keturunan Cina yang lain patut menerima hakikat itu, bukannya memandai-mandai membuat kesimpulan untuk menyedapkan hati masyarakatnya dengan menolak hakikat sejarah. Usahlah kita menipu sejarah atau menggunakan sejarah sebagai expidient politik untuk menghalalkan tentangan kita terhadap persetujuan asas yang telah kita capai sewaktu negara ini mencapai kemerdekaan.

Fakta

Benar, generasi keturunan pendatang itu sekarang mungkin sudah menjadi warga negara Malaysia. Tetapi kita tidak akan dapat memadamkan fakta bahawa warga Malaysia keturunan Cina adalah berasal usul pendatang. Apa yang saya tahu tidak ada antara mereka yang berhijrah ke Tanah Melayu dulu dengan niat untuk berkorban membangunkan Tanah Melayu. Mereka datang untuk mencari kehidupan yang lebih baik. Setelah menemuinya, mereka membuat keputusan untuk tinggal terus di sini.

Tuan rumah pula bersetuju untuk mengiktiraf mereka bukan sebagai penumpang, tetapi sebahagian daripada warganya. Alangkah bertuahnya kita. Kalau orang luar berhijrah ke negara China, mereka belum tentu lagi diberi layanan yang sama.

Lihatlah bagaimana pihak berkuasa China melayan komunis Melayu yang tinggal dalam buangan di negara China. Setelah berpuluh-puluh tahun menetap di Beijing, mereka tidak diberi pengiktirafan sebagai warga negara. Mereka dilayan seperti sampah.

Akhirnya, pejuang komunis seperti Musa Ahmad, Khadijah Sidek dan ramai lagi terpaksa pulang ke Malaysia kerana berasa dianaktirikan oleh pihak berkuasa Republik Rakyat China walaupun mereka pernah berjuang untuk kepentingan ideologi yang sama.

Lantaran usahlah kita emosional kerana hakikatnya warga keturunan bukan Melayu memang bangsa luar dari alam Melayu ini. Cuma status kita sudah bertukar yang memberi kita hak untuk menetap di negara ini, sama seperti yang dimiliki penduduk pribumi. Kita sepatutnya bersyukur kerana dapat bernaung di bawah kepimpinan Melayu, dulunya Raja-raja Melayu sekarang UMNO. Kita dibenarkan membuat kekayaan mengatasi orang Melayu itu sendiri. Alangkah beruntungnya kita.

Jadi bagi saya sebab yang lebih munasabah mengapa orang Cina di Malaysia patut berang kalau dianggap sebagai pendatang bukan kerana nenek moyang kita pernah berkorban untuk Tanah Melayu, tetapi kerana mereka sudah menjadi warga negara Malaysia. Sebagai warga negara tentulah tidak kena jika label pendatang dipakai untuk kita.

Hak-hak kita sebagai warga dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Tentulah tidak ada jaminan yang lebih kudus daripada apa yang terkandung dalam undang-undang utama negara itu. Tiada siapa yang boleh menarik balik atau membatalkan apa yang tercatat di dalamnya.

Bagi saya apa yang saya pasti ialah pemberiaan kewarganegaraan kepada penduduk imigran Cina secara liberal berdasarkan prinsip jus soli adalah satu lagi bukti hasil kemurahan hati pemimpin Melayu pada 1957 telah membolehkan kita tinggal di bumi Melayu tanpa berasa takut diusir ke tempat lain. Kita hendaklah menjadi manusia yang tahu mengenang budi kerana dengan satu coretan pena, 1.5 juta penduduk imigran telah menjadi warga negara Tanah Melayu. Jika tidak, datuk nenek kita kita dulu mungkin menjadi orang tanpa warga negara. Bayangkan kesusahan yang akan kita alami.

Atau jika tidak besar kemungkinan nenek moyang kita terpaksa balik ke negara China dan kita tidak ada hak untuk tinggal di negara yang bernama Malaysia ini.

Hak istimewa

Bagi saya pemberian kewarganegaraan berdasarkan prinsip jus soli ini adalah hak istimewa yang diberikan oleh orang Melayu kepada penduduk imigran ketika itu. Kita menikmatinya serta merta, tidak seperti hak istimewa orang Melayu yang diabaikan pelaksanaannya oleh pemimpin Melayu itu sendiri pada tahun-tahun awal kemerdekaan sehingga terpaksa diperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1970.

Warga Malaysia keturunan Cina patut berterima kasih dengan orang Melayu kerana pemberian kewarganegaraan itu adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan.

Malah membangkitkan status kewarganegaraan kepada orang Cina sama seperti mempersoalkan kedudukan Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu/bumiputera, kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan agama Islam sebagai agama Persekutuan, adalah suatu kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948.

Sebagai mengenang budi pemberian orang Melayu, marilah kita akur dengan apa yang telah dipersetujui oleh nenek moyang kita dengan para pemimpin Melayu sewaktu negara mencapai kemerdekaan. Marilah kita belajar untuk menerima hakikat bahawa kedudukan hak istimewa orang Melayu adalah sesuatu yang sudah selesai dan tidak harus mempertikaikan lagi.

Sokong kuota bumiputera dinaikkan 50%


ALOR STAR 12 Okt. - WEHDAH, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong keputusan Kerajaan Kedah menaikkan kuota perumahan bumiputera kepada 50 peratus, meminta Kerajaan Pusat mengemukakan fakta apabila meminta kerajaan negeri memperkenalkan sistem atau dasar perumahan yang realisitik dan seimbang.

Pengerusi WEHDAH, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, kerajaan Kedah membuat keputusan betul apabila menaikkan kuota itu daripada 30 kepada 50 peratus bagi mengimbangi polarisasi kaum, berkuat kuasa 1 September lepas.

Berdasarkan pecahan kaum, bumiputera Kedah berjumlah kira-kira 1.5 juta dan bukan bumiputera 400,000 orang, kuota 50 peratus adalah wajar, katanya, kepada pemberita di sini, hari ini.

Dalam lawatannya ke Kedah Jumaat lepas, Najib berkata, dasar perumahan haruslah mengambil kira masalah pemaju dan bukan sekadar memperkenal tetapi menyukarkan pelaksanaannya.

Menteri Besar itu pula menyifatkan dasar tersebut adalah wajar kerana majoriti rakyat Kedah adalah kaum bumiputera.

Bagaimanapun dasar itu ditentang oleh Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah yang menyifatkan, sebagai menyukarkan pemaju perumahan dan mahukan sistem kuota sedia ada iaitu 30 peratus untuk bumiputera dikekalkan.

Mohd. Azmi, yang juga Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) mencadangkan penubuhan sekretariat 'Baitul Salim' atau Perumahan Sejahtera bagi memantau aktiviti industri perumahan bagi mencapai matlamat rancangan kerajaan.

Mohd. Azmi turut meminta kerajaan negeri mengawasi dan mengehadkan penjualan hartanah terutama rumah kos tinggi kepada warga asing di Langkawi di bawah program Malaysia My 2nd Home supaya masyarakat tempatan tidak terpinggir dalam tempoh masa panjang.

Pada majlis itu, beliau menyerahkan memorandum mengandungi 23 perkara menyokong keputusan kerajaan negeri kepada Setiausaha Politik Menteri Besar, Sanusi Mohd. Noor untuk disampaikan kepada Azizan.

Pertahan Perkara 153


Tan Sri ABDUL Rahim Tamby Chik, Pengerusi GABEM.


Perkembangan politik negara selepas pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 menyaksikan pelbagai perkara yang sepatutnya tidak menjadi pertikaian kini mula dipersoalkan. Satu demi satu perkara yang berkaitan dengan orang Melayu dan umat Islam terus menjadi sasaran pihak tertentu terutama parti pembangkang dalam usaha kononnya untuk mewujudkan kesamarataan antara kaum di negara ini.

Akibatnya, apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mula menjadi sasaran serangan, malah demi kepentingan politik, parti-parti pembangkang terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus melakukan tindakan yang cenderung ke arah menggugat apa yang sudah ditentukan oleh Perlembagaan. Antara yang paling menjadi sasaran ialah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berhubung hak-hak keistimewaan orang Melayu. Kononnya atas prinsip untuk menegakkan kesamarataan dan keadilan, peruntukan ini cuba diganggu gugat. Tanpa mahu menoleh kepada sejarah pahit getir mewujudkan Perkara 153, desakan terus ditujukan seolah-olah mahu menjadikan peruntukan ini hanya menjadi catatan sejarah.

Justeru dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, KU SEMAN KU HUSSAIN dan ZULKIFLEE BAKAR, Pengerusi Gabungan Badan Ekonomi Melayu (GABEM), Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik mengingatkan, Perkara 153 bukan sebarangan peruntukan dalam Perlembagaan malah ia menjadi tonggak utama dalam penggubalan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Justeru tegas beliau sebarang usaha untuk menghapuskan DEB sama seperti ‘membunuh’ Perkara 153 yang memberi peruntukan istimewa kepada orang Melayu.

Berdasarkan hakikat itu, dalam pertemuan yang sebahagian hujah beliau berkisar kepada rentetan sejarah terhadap cabaran mempertahankan Perkara 153 melalui semangat DEB, bekas Ketua Menteri Melaka dan Ketua Pemuda UMNO tersebut mengingatkan orang Melayu bahawa penghapusan DEB dan Perkara 153 adalah sebahagian usaha untuk menjadikan negara ini sebuah republik. Usaha ini ada kaitannya dengan konsep Malaysian Malaysia.

Mingguan: Apa kaitan perjuangan untuk menegakkan DEB dalam hubungannya dengan kewujudan peruntukan 153 dalam Perlembagaan?
ABDUL RAHIM: Sebagaimana kita maklum penggubalan DEB dicetuskan di era Almarhum Tunku Abdul Rahman. Ini adalah satu permulaan perjuangan ekonomi bangsa setelah 450 tahun di dalam sejarah ketamadunan Melaka.

Melaka pada masa itu merupakan satu tamadun Melayu yang amat cemerlang. Ia adalah usaha bagi menterjemahkan satu kehebatan Melayu menjadi tamadun yang diiktiraf oleh ahli-ahli sejarah dunia. Perjuangan ekonomi di Melaka bermula apabila orang Melayu menunjukkan kebolehan dengan mentransformasikan sebuah kampung nelayan yang kecil di muara Sungai Melaka menjadi satu bandar kemakmuran yang mampu menarik pelabur-pelabur di rantau ini dan luar sehingga ke Timur Tengah.

Tidak mungkin orang Melayu dapat menjadikan Melaka sebagai satu kuasa penakluk dan pusat ilmu kecuali kebolehan orang Melayu mengeluarkan pemimpin, pengurus dan pekerja yang baik - inilah yang menyusun sesebuah tamadun.

Apabila kita kalah kepada Portugis pada 1511, kita lihat orang Melayu mula dipinggirkan dengan tinggal di kampung-kampung dan bergelumang dengan aktiviti-aktiviti yang tidak produktif.

Oleh kerana ketika itu kita mengamalkan sistem feudal orang Melayu tidak mampu produktif kerana hasil mereka akan diberikan separuh kepada raja dan juga orang-orang besar. Akibatnya orang Melayu hidup dalam keadaan daif, miskin, papa dan kedana.

Hanya pada zaman Allahyarham Tun Razak Hussein, penggubalan terhadap DEB dibuat atas kefahaman bahawa adanya Perkara 153 dalam Perlembagaan yang memberikan hak istimewa orang Melayu. Peruntukan itu termasuklah dari segi pemberian permit, biasiswa, agama Islam, bahasa kebangsaan dan kedaulatan raja-raja Melayu.

Semua itu telah mendorong DEB digubal. Langkah mewujudkan DEB itu bertujuan bagi memastikan pembelaan terhadap orang miskin yang selama 450 tahun tertekan di bawah tapak kaki penjajah.

Atas sebab itulah dalam sejarah moden Malaysia, perjuangan ekonomi bangsa bermula apabila DEB digubal. Ini kerana DEB bertunjangkan pembanterasan kemiskinan dan juga penyusunan semula masyarakat. Ia wujud daripada Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan ia mampu dipertahankan biarpun menghadapi pelbagai cabaran dan kecaman daripada pihak tertentu hari ini.

Bagaimana pula kita hendak menegakkan Perkara 153 ini sebagai pengiktirafan kepada hak pribumi bumiputera terhadap negara ini?
ABDUL RAHIM: Ia ada kaitan dengan kewujudan Melaka, negeri itu dalam sejarah sebenarnya adalah tamadun yang diperakui oleh dunia dan dalam pembentukan tamadun ini kita mempunyai proses sejarah sebagai pribumi.

Mungkin ada yang bertanya kenapa Melayu jadi penduduk asal? Kenapa tidak Orang Asli yang lebih awal tidak diiktiraf sebagai memulakan tamadun? Mengikut pengukuran sejarah sesuatu bangsa itu kebolehan mewujudkan satu tamadun akan menjadi asas pengiktirafan. Dari segi sejarah, pengiktirafan pribumi diberikan kepada orang Melayu kerana kita terawal, biarpun ada Orang Asli. Ini kerana mereka tidak mewujudkan ketamadunan.

Dalam mewujudkan Perkara 153 dalam Perlembagaan ia bukanlah satu perjuangan yang mudah kita capai. Saya ingin memperbetulkan kesilapan pandangan majoriti mengenai filem Hati Malaya. Filem itu menggambarkan seolah-olah perjuangan menegakkan Perlembagaan Persekutuan di mana di dalam ada Perkara 153 hanya berlaku apabila wujud UMNO dan Tunku Abdul Rahman.

Tetapi sebenarnya perjuangan mewujudkan Perlembagaan Malaysia yang di dalamnya terkandung Perkara 153 ialah perjalanan sejarah yang lebih jauh daripada ketika wujudnya kumpulan Tunku Abdul Rahman mengambil alih pentadbiran UMNO daripada Dato’ Onn Jaafar.

Ertinya perjuangan menegakkan Perkara 153 itu lebih awal?
ABDUL RAHIM: Ia lebih awal kerana Tunku Abdul Rahman hanya muncul di penghujung. Apa yang saya ingin katakan perjuangan untuk mewujudkan Perkara 153 ini sudah bermula pada zaman komunis lagi. Inilah cabaran pertama. Apabila Bintang Tiga keluar dari hutan ia adalah permulaan kepada satu usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah republik.

Bintang Tiga telah membunuh orang Melayu kerana mengesyaki mereka bersubahat dengan orang Jepun. Kemudian apabila Bintang Tiga sudah membalas dendam dia berhasrat untuk mengisi kekosongan pemerintahan negara ini dengan menjadikan ia sebuah republik. Maknanya, langkah itu akan memberi pengiktirafan yang sama rata kepada orang Melayu, India dan Cina. Walaupun Bintang Tiga ini ditentang keras namun mereka masih berjaya mempengaruhi orang Melayu. Apa yang perlu difahami seandainya republik diwujudkan maka dengan sendiri Perkara 153 tidak akan wujud.

Malang dalam usaha ia cuba menterjemahkan negara ini menjadi sebuah republik, orang yang sama menyertai Parti Komunis Malaya (PKM) tetapi dengan babak berbeza. Inilah cabaran kedua kepada orang Melayu kerana matlamat PKM sama iaitu menjadi Malaya sebuah republik. Semasa menentang pengganas komunis ini, kita terpaksa mengisytiharkan darurat dari tahun 1946 sehingga 1960.

Perbuatan PKM ini adalah satu pukulan kepada sistem politik yang berasaskan kepada Keluhuran Perlembagaan yang mana Perlembagaan itu mempunyai satu peruntukan yang memberikan pengiktirafan kepada penduduk-penduduk pribumi. Ribuan warga keselamatan kita gugur dari 1946 hingga 1960 dan mereka ini bukanlah mati katak. Mereka mati untuk mempertahankan Malaya yang harus dibentuk dengan Perlembagaan tertentu yang mana ia memberikan pengiktirafan kepada pribumi.

Titisan darah wira-wira yang terkorban harus direalisasikan dengan menegakkan satu Perlembagaan yang memberi pengiktirafan kepada pribumi. Kita mesti hargai pengorbanan mereka yang akhirnya membawa kepada kemerdekaan. Orang ini menjadi asas yang membolehkan pemimpin-pemimpin bergerak untuk mencapai tahap lebih tinggi iaitu merdeka.

Siapa mereka tidak pernah dan jarang disebut. Walaupun mereka dilihat berjuang demi mempertahankan kedaulatan Malaya, tetapi di jiwa sanubari mereka ialah untuk melihat kewujudan sebuah Malaya yang mana Melayu menjadi asas dan tonggaknya.

Cabaran ketiga yang dihadapi oleh DEB yang berkaitan dengan Perkara 153 ialah apabila British cuba mewujudkan Malayan Union. Sebenarnya Malayan Union adalah satu konsep republik seperti mana yang diperjuangkan oleh Bintang Tiga dan juga PKM. Sebab itulah dalam Malayan Union terdapat peruntukan untuk memberi hak kerakyatan berdasarkan Jus soli – ertinya siapa sahaja yang berpijak di bumi Malaya maka ia akan menjadi rakyat Malaya.

Apa sebenarnya yang dilakukan oleh British sehingga ia dilihat boleh menggugat Perkara 153 tersebut?
ABDUL RAHIM: Gabenor British pada masa itu mempengaruhi Dato’ Onn Jaafar untuk memastikan parti UMNO yang ditubuhkan oleh Dato’ Onn itu yang menggabungkan segala kekuatan orang Melayu dapat dibendung melalui Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR). British mempengaruhi Dato’ Onn dan mendesak beliau supaya UMNO mesti boleh menerima bukan Melayu apabila berbuat demikian ia bermakna menerima Malayan Union. British menjalankan satu politik yang memperalatkan Dato’ Onn Jaafar melalui platform UMNO.

Konsep Malayan Union ini sama seperti mana konsep yang diperjuangkan oleh Bintang Tiga dan Parti Komunis Malaya (PKM). Gabenor British memberi syarat kalau Datuk Onn ingin melihat Tanah Melayu merdeka, orang lain harus mempunyai hak sama dengan orang Melayu.

Pendekatan ini juga cuba membuka keahlian UMNO pada masa itu kepada orang bukan Melayu supaya UMNO menjadi landasan untuk memilih kemerdekaan melalui gagasan Malayan Union.

Tetapi apabila orang Melayu tahu kedudukan raja tidak dihormati, hak keistimewaan orang Melayu tidak dihargai dan soal agama dipinggirkan maka mereka menolak idea tersebut dan Datuk Onn Jaafar. Semua itu adalah cabaran ketiga dalam kita hendak mempertahankan Perkara 153. Nasib baik orang Melayu membuat keputusan menolak cadangan British tersebut kalau tidak UMNO akan menjadi seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Semua itu adalah hasil pengorbanan orang Melayu, orang Melayu kena bunuh bersubahat dengan Jepun dan Bintang Tiga, orang Melayu dibunuh oleh PKM yang hendak menjadikan Tanah Melayu republik dan orang Melayu cuba diperkudakan oleh British dengan memanipulasikan UMNO.

Dalam soal konsep Malaysian Malaysia, tidakkah ia turut menjadi cabaran dalam mempertahankan hak istimewa orang Melayu?
ABDUL RAHIM: Itu merupakan cabaran keempat dalam usaha kita mempertahankan Perkara 153. Ia berlaku apabila Lee Kuan Yew yang menubuhkan PAP memperkenalkan konsep Malaysian Malaysia – konsep ini sebenarnya dijenamakan semula kerana matlamatnya sama iaitu menjadikan Malaysia sebuah negara republik.

Ertinya, mereka tidak dapat menerima kewujudan Perkara 153, apabila mereka berbuat demikian bermakna mereka tidak dapat menerima DEB. PKR kata hendak ganti DEB kepada Agenda Ekonomi Malaysia.

Jika dikaji Kuan Yew pada masa itu menggempur kekuatan UMNO dan Perikatan di Semenanjung. Kedudukan itu menyebabkan orang Melayu tercabar buat kali keempat dalam sejarah kita. Apa yang dikemukakan oleh Kuan Yew pada masa itu disokong oleh semua orang Cina Singapura dan jika ia disambut oleh orang Cina di Semenanjung, Sabah dan Sarawak mungkin falsafah Malaysian Malaysia itu akan menjadi kenyataan.

Kini kita menempuh cabaran kelima apabila secara terang-terangan konsep Malaysian Malaysia atau konsep keadilan dan kesamarataan cuba diperjuangkan oleh PKR dan ia cuba menjadikan perkara itu sebagai asas tonggak kepada sistem kenegaraan, ertinya Melayu tidak lagi menjadi tonggak.

Dalam sejarah dunia tidak ada banyak negara dalam tempoh 30 tahun boleh mentransformasikan negara kepada keadaan yang lebih elok. Terlalu banyak negara yang mencapai kemerdekaan sebelum Malaysia terus dicengkam dan diabdikan oleh negara besar.

Dalam berhadapan situasi seumpama itu, apa yang seharusnya kita lakukan?
ABDUL RAHIM: Kita perlu memperkukuhkan ekonomi negara ini. Ia kerana ekonomi menjadi ukuran kekuatan dan maruah sesebuah negara. Lihatlah Singapura, saiznya mungkin sama besar dengan negeri Melaka tetapi saiz ekonominya sama dengan Malaysia. Semua ini didorong oleh saiz ekonomi. Jepun kalau dibandingkan dengan saiz negara China sangat kecil tetapi kenapa Jepun dipandang sangat besar sama dengan Amerika Syarikat (AS)? Semua itu kerana saiz ekonominya.

Kita melihat bahawa Anwar dan PKR menganggap dengan adanya DEB dan Perkara 153 ia adalah satu unsur yang mengukuhkan dominasi orang Melayu dalam sistem politik kita. Sejarah telah meletakkan Perlembagaan kita yang dalamnya ada Perkara 153 dan dari Perkara 153 melahirkan DEB yang membawa pembelaan kepada orang miskin, daif dan terhina ini. Peminggiran golongan ini yang dilakukan sejak 1511 telah meningkat kepada satu tahap yang begitu hebat. Walaupun sama-sama naik tetapi masih terdapat banyak lagi lompang antara kaum, jurang antara luar bandar dengan bandar.

Pada pandangan Tan Sri apa muslihat di sebalik usaha Anwar hendak menggugat DEB itu?
ABDUL RAHIM: Anwar yang membawa satu ideologi baru melihat ada bukti-bukti yang boleh dieksploitasi kerana perjuangan orang-orang dulu melahirkan satu perlembagaan yang ada Perkara 153. Selagi DEB yang mentranformasikan golongan miskin ini menjadi kumpulan sederhana dan makmur terus wujud, selagi itulah tidak ada parti yang dapat menggantikan UMNO. Maknanya dominasi Melayu dalam sistem politik kita akan kekal sampai bila- bila.

Strategi PKR ialah mesti memperlekehkan DEB dan mengubah dasar ini supaya jangan menjadi satu pembuktian yang kuat bahawa perjuangan kita memberi kerakyatan kepada orang bukan Melayu ini dapat diketepikan untuk membolehkan PKR mendominasikannya.

Mereka menggunakan alasan kononnya globalisasi dan nilai-nilai universal, ini telah banyak mempengaruhi golongan muda kita yang buta tentang laluan sejarah. Kalau kita sendiri tidak memberikan penghargaan terhadap pengorbanan pejuang-pejuang terdahulu yang gugur yang membolehkan asas Perlembagaan yang mengandungi Perkara 153, generasi muda kita senang dipengaruhi. Sebab itu Anwar berhasrat menghancurkan dan memusnahkan DEB dengan mewujudkan Agenda Ekonomi Malaysia.

Jadi apa yang perlu dilakukan oleh orang Melayu dalam berhadapan dengan agenda ekonomi seumpama itu?
ABDUL RAHIM: Agenda Ekonomi Malaysia yang akan dilancarkan adalah satu pengisytiharan yang mesti ditolak. Filosofi dalam agenda itu ialah memberi pengiktirafan kepada semua kaum dengan kaedah pengagihan yang berlainan dengan DEB. DEB lebih kepada status sosial sesuatu kaum.

Kalau bumiputera 65 peratus haknya lebihlah dengan kaum yang 25 peratus atau tujuh peratus. Kita mestilah mengikut keadilan kependudukan. Tetapi asas Agenda Ekonomi Malaysia ialah pengagihan yang sama rata. Itu bukan keadilan tetapi kesamarataan yang diasaskan oleh agenda berkenaan yang berbeza dengan DEB.

Pas yang ada dalam Pakatan Rakyat pula meletakkan perjuangan Islam lebih daripada perjuangan kaum. Mereka tidak peduli tentang kedudukan bahasa Melayu atau ketuanan Melayu kerana pendekatan kepada Islamik cara Pas.

Jadi dari segi keperluan mikro mungkin perjuangan itu universal pendekatan Islam. Sedangkan perjuangan untuk mengangkat martabat memerlukan pendekatan makro untuk melihat setiap strategi itu disusun. Ini kerana budaya, sejarah dan latar belakang kita berlainan dan memerlukan pendekatan yang lebih efektif untuk mengangkat martabat.

Mungkin orang tertanya-tanya kenapa baru sekarang Tan Sri bercakap tentang rentetan sejarah DEB ini?
ABDUL RAHIM: Saya perlu sebutkan perkara ini supaya rakyat Malaysia faham tentang laluan sejarah. Dalam memahami cita-cita untuk untuk lebih makmur dan berilmu, pada masa yang sama kita telah lupa pengorbanan golongan terdahulu terutama wira-wira kita dan orang Melayu yang telah banyak terkorban dalam menegakkan perlembagaan Malaya ketika itu.

Seharusnya ada satu penghargaan terhadap apa yang telah kita buat pada masa yang lalu tentang cita-cita, pengorbanan dan titisan darah sehingga Tunku Abdul Rahman berjaya menuntut tarikh kemerdekaan kita pada 31 Ogos 1957. Jika kita tahu laluan sejarah, soal kontrak sosial atau DEB tidak menjadi debat. Tetapi kini bukan saja debat tetapi nak menghapuskan kedudukan ini. Jadi 16 September itu bukan hari keramat tetapi “hari kiamat”.

DEB bukan menindas kaum lain tetapi sebaliknya untuk membela kaum yang lemah. Kebetulan yang banyak lemah dan papa kedana ialah orang Melayu. Perjuangan yang dibawa oleh PKR ini harus difahami oleh rakyat Malaysia yang rasional serta mempunyai kebijaksanaan membuat keputusan.

Tetapi sokongan kepada PKR ini juga turut diberikan oleh orang Melayu, adakah mereka tidak tahu sejarah ini?
ABDUL RAHIM: Mungkin tidak tahu sejarah. Mungkin juga tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku sekarang. Orang ini lebih mudah dikembalikan kefahaman dan penghayatan bagaimana kita harus membina semangat patriotisme berasaskan kepada laluan sejarah kita yang jelas. PKR bukan memperjuangkan sesuatu yang baru atau landskap politik yang baru. Ini yang kelima dalam siri untuk menghancurkan kedaulatan dan kedudukan Melayu dalam negara kita.

Apakah nasihat Tan Sri kepada orang Melayu?
ABDUL RAHIM: Kita harus menghargai sejarah mengenai betapa susahnya menghadapi keganasan untuk menegak apa yang ada pada hari ini yang telah teruji sejak 51 tahun kita merdeka.

Kedah kekal naikkan kuota rumah bumiputera


ALOR STAR 8 Okt. - Kerajaan negeri tetap dengan keputusannya untuk menaikkan kuota pembelian rumah kepada bumiputera daripada 30 kepada 50 peratus walaupun mendapat bantahan daripada pihak pemaju.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, kerajaan negeri bersedia bersemuka di mahkamah dengan mana-mana pihak yang ingin mencabar keputusan kerajaan berhubung perkara itu.

"Ini negara bebas, sesiapa sahaja boleh membawa perkara ini ke mahkamah jika mereka tidak bersetuju dengannya.

"Jika kerajaan negeri kalah, kami bersedia menerimanya namun saya percaya kami berada di landasan yang betul," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan, Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Kedah/Perlis, Ricque Liew Yin Chew yang akan mencabar keputusan kerajaan negeri berhubung peningkatan kuota itu di mahkamah jika ia masih dilaksanakan.

Menurut Azizan, kerajaan negeri mengambil keputusan itu untuk kebaikan rakyat dan tidak mahu melihat majoriti golongan bumiputera yang tinggal di negeri ini tidak memiliki rumah sendiri.

"Berdasarkan kajian yang dijalankan didapati lebih 200 ribu bumiputera di negeri ini masih belum mempunyai rumah sendiri.

"Atas dasar inilah kerajaan negeri mengambil keputusan untuk meningkatkan kuota pembelian rumah kepada bumiputera kepada 50 peratus namun dasar ini tidak menafikan hak kaum lain untuk membeli rumah di negeri ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Azizan memberitahu, pemaju dan kerajaan harus bekerjasama membantu rakyat memiliki rumah sendiri dan bukan hanya mementingkan keuntungan semata-mata.

"Jika mereka ingin kaut keuntungan mereka boleh pergi ke negeri lain dan kerajaan negeri akan mengerakkan syarikat milik kerajaan (GLC) bagi memastikan usaha kerajaan membantu rakyat memiliki rumah sendiri tercapai," jelasnya.

UMNO perlu berani perjuang hala tuju

Parti sahabat UMNO dalam Barisan Nasional (BN) seperti MCA dan Gerakan sedang menghadapi pemilihan pemimpin baru parti masing-masing dan sudah menyatakan dasar perjuangan dan hala tuju parti pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 Mac 2008, supaya terus relevan dengan kehendak semasa dan permintaan akar umbi.

Namun, dalam kerangka itu UMNO yang akan menghadapi mesyuarat agungnya yang juga mempunyai pemilihan pucuk pimpinan peringkat tertingginya tidak menyatakan agenda perjuangannya yang terbaru.

Datuk Chua Jui Meng yang mahukan MCA terus kekal sebagai rakan UMNO kerana sama-sama menubuhkan BN, tetapi menggesa Dasar Ekonomi Baru (DEB) dimansuhkan dan digantikan dengan dasar baru yang lebih relevan bagi membentuk sebuah bangsa Malaysia yang padu.

Gerakan pula melalui Pemangku Presidennya, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon yang menang jawatan Presiden tanpa bertanding, beberapa kali membuat kenyataan bahawa akar umbi parti itu mahukan Gerakan keluar daripada BN.

Dalam satu kejadian lain seorang wanita di Sabah Yong Lee Hua @ Piang Lin, 78 yang diberikan kad pengenalan merah daripada biru oleh Jabatan Pendaftaran Negara, telah dimanfaatkan oleh Timbalan Presiden Parti UPKO dengan mengugut untuk keluar BN, jika jabatan itu gagal menyelesaikan kes wanita berkenaan!

Begitulah juga kes Exco Selongor, Teresa Kok yang begitu cepat dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana tekanan bertubi-tubi yang dilakukan oleh DAP dan bantuan antarabangsa.

Pengamat politik menyifatkan senario ini berlaku kerana kekuatan UMNO dan BN tidak begitu kuat yang menyebabkan satu persatu perkara timbul untuk melemahkan lagi kerajaan sedia ada.

Relevan

Lebih 50 tahun kerajaan BN memerintah tidak pernah dikatakan mengamalkan racist (perkauman) dan ia kini dilaung-laung secara berterusan untuk menyatakan parti itu tidak lagi relevan, kerana sepatutnya negara ini mengamalkan 'Malaysian Malaysia'.

Sesiapa sahaja ahli UMNO yang bercakap mengenai kepentingan Melayu akan dikatakan perkauman, apa lagi membela DEB, sedangkan dasar yang diasaskan Allahyarham Tun Abdul Razak itu telah menyatakan dengan jelas matlamatnya adalah untuk membela sesiapa sahaja yang miskin, tidak kira agama atau keturunan.

Tun Razak dan tentunya anak beliau juga kini cukup memahami bahawa jika ada satu kaum yang tertindas dalam negara ini, akan menyebabkan perpaduan akan terjejas dan dengan itu negara berada dalam keadaan lemah, manakala strategi kedua untuk menyusun masyarakat supaya semua kaum dapat menikmati kek ekonomi dengan adil.

Oleh sebab kerajaan yang bertulang belakangkan UMNO ditiup angin propaganda sebagai perkauman, maka ramai menjadi begitu takut untuk bercakap mengenai kepentingan kaum Melayu dan bumiputera.

Sedangkan jika banyak kaum Cina menyatakan DEB sebagai dasar yang memberi keutamaan kepada kaum Melayu, orang Melayu juga boleh marah-marah kerana ekonomi dalam pelbagai sektor dikuasai oleh hanya satu kaum sahaja, waima padi yang menjadi tradisi orang Melayu mengusahakannya, tetapi pengilang beras dan penentu harga beras tidak lagi boleh ditentukan oleh pak tani di kampung.

Sehingga habis mesyuarat cawangan UMNO dan tiba peringkat mesyuarat bahagian bermula esok hingga 9 November depan, belum lagi kedengaran ada cawangan yang bercakap mengenai agenda perjuangan dan cadangan untuk meletakkan martabat Melayu sesuai dengan nama negara ini 'Malaysia'.

Masih ada harapan untuk orang Melayu untuk bercakap dan mencadangkan beberapa idea untuk memajukan kaum Melayu terutamanya dalam aspek ekonomi.

Kesamarataan tidak semestinya membawa keadilan

adakah rakyat Malaysia berbilang kaum hari ini termasuk kalangan para pemimpin tidak memahami atau sengaja menidakkan perbezaan antara kesamarataan dan keadilan?

Ini kerana kedua-dua konsep tersebut yang nampak sama maksudnya tetapi berbeza gagal difahami apabila melihatkan pendirian dan tindakan yang dilakukan mutakhir ini.

Akibatnya, berlakulah ketidakadilan pada ketika kesamarataan terlalu diberi penekanan yang seterusnya menyebabkan sebelah pihak semakin "memendam rasa" manakala sebelah pihak lagi seperti "naik lemak".

Adakah pemberian tanah ribuan ekar dan peruntukan beratus-ratus ribu ringgit untuk tujuan penempatan, pendidikan dan kebudayaan kepada bukan Melayu seperti yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri Perak itu benar-benar adil kepada orang Melayu yang masih banyak perlu diberi perhatian di negara ini?

Perlu ditegaskan, kesamarataan (equality) tidak semestinya membawa keadilan (equity). Apatah lagi dalam konteks negara ini yang rupa bentuk bangsa Malaysia dan perpaduannya begitu rapuh kerana kaum bukan bumiputera masih kuat dicengkam rasa perkauman sedangkan orang Melayu pula terlalu banyak bertolak-ansur.

Walaupun dalam Fasal (8) Perkara 1 Perlembagaan Malaysia menyatakan semua orang adalah sama rata dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang tetapi itu bukanlah tiket untuk pihak tertentu yang antinasionalisme sebaliknya kuat cauvinismenya mengeksploitasi peruntukan itu demi kepentingan politik kepartian masingmasing.

Kedudukan bahasa kebangsaan (Perkara 152), agama Persekutuan (Perkara 3) serta kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera (Perkara 153) yang merupakan sebahagian daripada antara unsur-unsur tradisi dalam Perlembagaan negara ini tidak wajar sewenang-wenangnya "dikaji semula" dengan tujuan menghapuskannya atas alasan mahu mewujudkan kesamarataan dengan kelompok etnik lain.

Apa yang berlaku di seberang Tambak Johor wajar diteladani agar virus "pisang berbuah dua kali" tidak merebak ke negara ini. Jika diteliti senarai Kabinet Singapura didapati hanya seorang sahaja menteri Melayu iaitu Yaacob Ibrahim daripada kira-kira 20 portfolio yang ada, manakala etnik India Singapura yang merupakan kelompok ketiga terbesar mempunyai empat orang menteri.

Adakah itu adil kepada etnik Melayu sebagai penduduk asal dan kelompok kedua terbesar di republik itu sedangkan jumlah dan kedudukan portfolio yang dipegang oleh menteri berketurunan India pun mengatasi Melayu?

Malah, penekanan melampau akan konsep kesamarataan turut mengheret kepada ketidakadilan yang seterusnya menimbulkan rasa tidak puas hati orang Melayu sebagai penduduk asal kawasan yang dikategorikan dunia Melayu ini. Ironinya, kesamarataan yang ditekankan pun tidak wujud apabila sebelah pihak sahaja dilebihkan.

Ini dapat dilihat daripada keluhan seorang pembaca akhbar Berita Harian Singapura (3 September 2008) yang khuatir melihatkan semakin banyaknya papan tanda dan siaran TV berbahasa Inggeris dan Mandarin serta ramai pegawai tinggi pemerintah di negaranya kini yang tidak tahu bertutur bahasa Melayu.

Tidakkah keadaan tersebut telah atau bakal menimpa negara ini jika peralihan kerajaan baru yang diuar-uarkan pada 16 September menjadi kenyataan akibat tidak faham akan perbezaan konsep kesamarataan dan keadilan?

Tuntutan dan desakan yang semakin kuat hari ini seolah-olah menggambarkan orang Cina dan India ditindas serba-serbi selama kedatangan keturunan mereka ke tanah air ini sejak kurun ke-19 lalu yang kemudiannya dengan mudah memperoleh kerakyatan ketika di ambang kemerdekaan seterusnya hidup selesa sehingga hari ini.

Oleh itu, pemahaman dan tafsiran semua pihak berhubung konsep kesamarataan dan keadilan mestilah jelas.

Pemimpin-pemimpin Melayu sama ada daripada Pakatan Rakyat (PKR-PasDAP) mahupun UMNO/BN mesti berhati-hati dalam strategi dan tindakan politik mereka agar tidak membawa bala kepada generasi bangsanya sendiri kemudian hari.

Pendek kata, keadilan itu adalah setiap orang dapat apa yang sepatutnya dia perolehi bukannya mesti sama banyak atau mesti ada sama seperti orang Melayu/bumiputera miliki.

Dalam masa yang sama, orang bukan Melayu mesti sedar diri akan di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung.

Jangan terpedaya hasutan pembangkang - Musa

KOTA KINABALU 9 Sept. - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman menasihatkan rakyat negeri ini supaya tidak terperdaya dengan hasutan pembangkang dan sebaliknya terus menyokong usaha kerajaan dalam membangunkan Sabah.

Beliau berkata, Sabah sedang pesat membangun dan menerima kedatangan pelancong yang memberangsangkan serta menjana ekonomi negara dan kerajaan mahu mengekalkan keadaan itu.

"Kita mahu meyakinkan dan memberi jaminan kepada pelancong dan pelabur asing bahawa Sabah sebuah negeri yang aman dan selamat dengan keadaan politik yang stabil.

"Janganlah kita lalai dengan hasutan parti- parti pembangkang. Kita tidak mahu keadaan politik yang tidak menentu mengganggu usaha pembangunan negeri ini dan menakutkan para pelabur yang datang bawa kebaikan kepada kita," katanya pada majlis berbuka puasa anjuran tiga dewan perniagaan Melayu di sini malam ini.

Tiga dewan itu ialah Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia Sabah (Perdasama), Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah (DPBS) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Sabah (DPMMS).

Katanya, Sabah merupakan negeri kedua terbesar di Malaysia dan memerlukan tambahan suntikan pelaburan dari luar bagi memastikan rancangan pembangunan di negeri itu seperti Koridor Pembangunan Sabah (SDC) berjaya dan sekali gus membantu menaik taraf kehidupan rakyat.

Oleh itu, beliau berharap rakyat tidak mengambil serius perkara yang dibangkitkan parti-parti pembangkang sekiranya mahu janji kerajaan untuk membangunkan Sabah ditunaikan.

Sementara itu, Musa menyarankan peniaga Melayu mengadakan perkongsian pintar dengan peniaga bukan Melayu bagi memajukan lagi perniagaan mereka.

"Yang penting dalam mengadakan perkongsian pintar ialah kita belajar daripada satu sama lain. Kalau bangsa Cina boleh berjaya, Melayu pun boleh berjaya. Kita sama-sama boleh berjaya," katanya.

Wanita MCA sokong Khalid lantik Siew Moi

KUALA LUMPUR: Pergerakan Wanita MCA menyokong keputusan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim melantik Low Siew Moi sebagai Pemangku Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Ketuanya Datin Paduka Chew Mei Fun berkata dalam dunia global kini, perlantikan jawatan tinggi kerajaan tidak seharusnya berdasarkan kepada warna kulit atau jantina.

"Walaupun ideologi politik saya berbeza dengan Tan Sri Khalid, saya percaya dengan keyakinan serta kepercayaan yang ditunjukkan oleh Menteri Besar Selangor itu terhadap keupayaan kaum wanita untuk menerajui PKNS," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata mereka yang memiliki keupayaan dan mampu melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan perlu diberikan peluang untuk mencurahkan khidmat bakti mereka.

"Sekiranya seseorang yang dilantik itu berjaya melaksanakan tugasnya dengan baik, dia seharusnya dibenarkan untuk meneruskan perkhidmatannya pada kedudukan itu, namun sekiranya di gagal, masih tidak terlalu lambat untuk menamatkan saja perkhidmatannya.

Chew turut menggesa Khalid supaya tidak dipengaruhi oleh pihakpihak tertentu yang prejudis dan mempersoalkan perlantikan Low berdasarkan kepada aspek kaum dan jantina.

Low: Pemuda Umno Selangor serah memorandum bantahan

SHAH ALAM: Pergerakan Pemuda Umno Selangor hari ini menyerahkan memorandum bantahan kepada pihak istana bagi mendesak Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengambil perhatian serius terhadap perasaan tidak puas hati berikutan isu pelantikan pemangku Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Memorandum bantahan itu diserahkan kepada juruiring Sultan Selangor Komander Ahmad Ramli Kardi di Istana Bukit Kayangan di sini pada 5.05 petang ini oleh Ketua Pemuda Umno Selangor, Abdul Shukor Idrus untuk perhatian Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Antara lain, kandungan memorandum itu mendesak supaya Menteri Besar tidak ingkar perintah Duli Tuanku yang tidak memperkenankan pemberian jawatan tinggi dan penting kerajaan negeri Selangor kepada bangsa asing, melainkan kepada orang Melayu yang beragama Islam.

Pergerakan itu juga menolak sekeras-kerasnya pelantikan Timbalan Pengurus Korporat dan Akaun PKNS Low Siew Moi sebagai pemangku Pengurus Besar PKNS selepas tempoh persaraan beliau (Low) dilanjutkan setahun oleh Menteri Besar.

Pemuda Umno Selangor juga menyelar tindakan Abdul Khalid yang didakwa biadap kerana memecah tradisi dan mengetepikan kemampuan orang Melayu menerajui tampuk tertinggi pengurusan dan pentadbiran PKNS yang ditubuhkan sejak 1964.

Tindakan Abdul Khalid itu didakwa melukakan perasaan dan maruah orang Melayu dengan tekad kerajaan Selangor berusaha mencari modal mega berjumlah RM10 juta untuk membaiki dan membangunkan sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil sedangkan Sekolah Agama Rakyat masih banyak belum terbela sepenuhnya.

PAS bakal kemuka dua calon isi jawatan Pengurus Besar PKNS

SHAH ALAM: PAS Selangor akan mengemukakan dua nama daripada kalangan tokoh korporat bagi mengisi jawatan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak lama lagi.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata pemilihan itu dibuat berdasarkan pengalaman serta latar belakang yang dimiliki oleh dua individu berkenaan tetapi beliau enggan menyatakan nama mereka.

Namun, keduadua calon untuk mengisi jawatan itu adalah bumiputera dan individu berkenaan tidak semestinya pegawai daripada PKNS, katanya kepada pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Semalam, PAS Selangor mahu mencadangkan beberapa nama calon kepada Abdul Khalid untuk dilantik sebagai Pengurus Besar PKNS selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar itu.

PAS membuat cadangan itu ekoran keputusan Abdul Khalid melantik Timbalan Pengurus Korporat dan Akaun PKNS, Low Siew Moi sebagai pemangku jawatan itu yang membangkitkan rasa tidak puas hati pelbagai pihak, termasuk kakitangan PKNS sendiri yang membantah supaya jawatan itu diisi seorang bumiputera yang layak.

Pelantikan Low itu dikatakan lari daripada matlamat asal penubuhan PKNS untuk meningkatkan taraf sosial dan ekonomi bumiputera di Selangor.

ABIM dan Pemuda PAS bantah cadangan hapus DEB

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta agar tidak terburu-buru mengubah sebarang dasar yang berkait dengan kedudukan ekonomi Bumiputera termasuk menghapuskan dasar pemilikan 30 peratus ekuiti Bumiputera.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Yusri Mohamad berkata, dasar pemilikan 30 peratus ekuiti Bumiputera merupakan antara instrumen penting Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan untuk menangani ketidakseimbangan sosioekonomi antara kaum di negara ini.

"Indikator lain juga menunjukkan pencapaian ekonomi Bumiputera masih berada di tahap yang rendah berbanding kaum-kaum yang lain.

"Umpananya hanya 15 peratus premis komersial dimiliki oleh Bumiputera berbanding 80 peratus yang dimiliki oleh bukan Bumiputera manakala pendapatan purata Bumiputera sebanyak RM3,156 juga rendah berbanding kaum Cina (RM4,437) dan India (RM3,456)," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Yusri berkata, berdasarkan Laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan yang dibentangkan di Parlimen pada Jun lepas, kerajaan telah menyatakan komitmen untuk mencapai hak milik ekuiti Bumiputera antara 20 dan 25 peratus pada akhir tahun 2010, meningkatkan penyertaan Bumiputera di Sabah dan Sarawak dalam skim unit amanah serta memperluas pemilikan Bumiputera dalam aset bukan kewangan.

Beliau berkata, kenyataan Naib Presiden MCA Datuk Liow Tiong Lai mengenai penghapusan dasar pemilikan 30 peratus ekuiti Bumiputera adalah bertentangan dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam sektor ekonomi di negara ini.

"Adalah tidak munasabah dasar pemilikan ekuiti ini dihapuskan secara terburu-buru tanpa mengambil kira kesan menyeluruh tindakan itu terhadap kedudukan ekonomi Bumiputera. Dasar seperti ini tidak wajar diubah semata-mata untuk memenuhi tuntutan politik sesetengah pihak," katanya.

Beliau menggesa kerajaan agar melakukan kajian secara terperinci dengan mengambil kira pandangan semua pihak sebelum melaksanakan sebarang dasar yang merubah teras DEB yang bertujuan untuk menangani ketidakseimbangan ekonomi antara kaum di negara ini.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub meminta kerajaan mempertahankan hak 30 peratus ekuiti Bumiputera itu walaupun jika ia telah mencukupi 30 peratus.

"DPP Pusat melihat bahawa hak 30 peratus mesti menjadi penanda aras di negara ini kerana jika tidak ekuiti tersebut boleh merosot.

"Kita harus sedar bahawa sebelum 1969, ekuiti orang Melayu hampir tiada, dan setelah 40 tahun ia hanya berjumlah 19 peratus.

"Jika keadaan yang sama terus berlaku, kita masih memerlukan 20 tahun lagi untuk mencapai 30 peratus.

"Sedangkan nilai 19 peratus hari ini pun termasuk danadana awam dan sebagainya. Sekiranya ekuiti orang Melayu meningkat, bermakna ekuiti bangsa lain merosot, dan jika nilai 30 peratus ini tidak diikat, tidak mustahil ekuiti orang Melayu akan merosot semula," katanya.

Mahathir: Umno perlukan badan penasihat bebas pulih parti

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Umno memerlukan badan penasihat khas yang bebas daripada sebarang kepentingan peribadi jika ingin melakukan perubahan positif.

"Kita perlu ada badan penasihat, tapi badan penasihat itu perlu tidak mempunyai apa-apa kepentingan diri," katanya dalam satu wawancara khas yang bertajuk Budaya Pemilihan Umno siaran Astro Awani sebentar tadi.

Namun jelas beliau, jika badan tersebut dipengarahi pihak-pihak tertentu, ia boleh memberi kesan yang tidak baik kepada Umno itu sendiri.

"Kalau jadi badan penasihat tapi guna pengaruh yang ada untuk dapatkan sesuatu, ia akan memberikan konflik dan nasihat yang diberikan itu mungkin tidak baik," katanya.

Selain itu beliau berkata Umno seolah-olah menyekat kemasukan generasi muda terutamanya yang berpelajaran tinggi.

"Generasi muda ada sekatan dalam Umno, untuk masuk dalam Umno kita perlu melalui cawangan.

"Ketua cawangan memang tak suka sesiapa yang masuk cawangannya merupakan orang yang lebih berkaliber kerana takut akan kehilangan jawatan," katanya.

Tambah beliau dengan menyekat kemasukan generasi muda yang berkelulusan tinggi, maka Umno akan kehilangan genarasi pelapis yang berdaya saing.

"Sebab itu kita lihat mereka (generasi muda) masuk Pas kerana Umno sendiri yang menyekat, kalau sekat kemasukan orang yang lebih berkaliber maka ini bermakna semakin lama semakin merosot," katanya.

Jelas bekas Presiden Umno itu, ahli Umno sendiri dilihat seolah-olah merelakan amalan yang tidak sihat diteruskan dalam parti.

"Sebab itu kita lihat tidak ramai yang berani untuk tonjolkan diri untuk (bertanding) jawatan yang sesuai dengan kebolehan mereka, kita tak ada banyak pilihan," katanya.

Ditanya mengapa Umno tidak menggunakan pemimpin muda untuk mengembalikan kegemilangannya, Mahathir berkata perkara tersebut mesti bermula dari pucuk pimpinan.

"Ini bermula dari atas, kalau yang di atas berkelakuan tak baik, maka segala desakan dan nasihat dari orang ini (pemimpin muda) tak akan dihiraukan oleh sesiapa...kita perlu orang yang ada kredibiliti," katanya lagi.

Mahathir juga menolak dakwaan yang mengatakan lanskap politik di negara ini semakin berubah sebaliknya beranggapan perubahan yang berlaku terutamanya dalam pilihan raya yang lalu adalah disebabkan tanda protes pihak-pihak tertentu.

"Sebenarnya lanskap ini tak banyak berubah kerana pada tahun 2004 Barisan Nasional (BN) menang dengan begitu besar sekali tapi dalam tempoh hanya empat tahun ia seolah-olah berubah.

"Jadi apakah perubahan ini disebabkan oleh pemikiran baru tentang asas politik di Malaysia ataupun perubahan ini kerana perasaan tidak puas hati dengan kepimpinan yang ada?" katanya.

Beliau berpendapat perubahan ini berlaku kerana wujudnya perasaan tidak puas hati terhadap pemerintahan yang ada kerana ahli akar umbi tidak mempunyai peluang untuk menyatakan pandangan mereka.

"Dari segi pemikiran masih sama, tetapi mereka ambil peluang dalam pilihan raya untuk tunjukkan protes mereka," katanya.

Bagaimanapun Mahathir masih berkeyakinan BN akan pulih jika semua pemimpin parti komponennya turun padang serta kembali mendekatkan diri dengan rakyat.

"Kalau terus bergaduh sesama sendiri tak ada faedah, pilihan raya lalu bukan sahaja buruk bagi Umno malah semua parti komponennya hampir hancur.

"Jadi BN perlu tunjuk teladan yang baik untuk kembalikan keyakinan rakyat," katanya.

Mukhriz: Hapus ekuiti Bumiputera akan lemahkan ekonomi Melayu

ALOR STAR: Penghapusan dasar pemilikan 30 peratus ekuiti Bumiputera dalam syarikatsyarikat senaraian awam akan hanya melemahkan lagi ekonomi orang Melayu, kata Anggota Exco Pemuda Umno Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Menurutnya sekarang bukan masa untuk mencadangkan 30 peratus ekuiti orang Melayu dihapuskan sebaliknya ia masa bagi meningkatkan ekonomi mereka.

"Pencapaian mereka paling hebatpun baru 22 peratus tetapi kini merosot kepada 18 peratus. Jadi wajarkah dasar itu dihapuskan atau dilonggarkan?" katanya bagi mengulas kenyataan naib presiden MCA Datuk Liow Tiong Lai yang mahu syarat itu dihapuskan.

Mukhriz, yang juga Anggota Parlimen Jerlun, berkata banyak lagi matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) belum tercapai dan usaha perlu dilakukan bagi memantapkan daya saing mereka dengan kaum lain yang maju dalam bidang ekonomi.

"Selagi golongan Bumiputera belum selesa dan yakin dengan kemampuan mereka, dasar ini tidak boleh dihapuskan," katanya

Musa Hitam mahu generasi muda dalam kepimpinan Umno

KUALA LUMPUR: Generasi muda diperlukan bagi membantu memulihkan semula penyakit tua Umno yang kini sudah menginjak usia 61 tahun, kata bekas Timbalan Presiden Umno Tun Musa Hitam.

Katanya, penyakit tua Umno kini tidak boleh lagi dibaiki atau dirawat golongan tua kerana Umno kini memerlukan muka baru yang lebih muda untuk mengembalikan semula Umno serta keyakinan rakyat terhadap parti itu.

"Penyakit tua ini tidak boleh diperbaiki oleh orang tua-tua, jadi maksud saya mereka yang hendak bertanding pada pemilihan Umno Mac depan, yang ingin memegang jawatan-jawatan tertinggi haruslah terdiri daripada golongan muda yang mempunyai idea-idea yang baru," katanya kepada pemberita pada persidangan akhbar di sini, hari ini.

Biarpun ramai yang beranggapan untuk memulihkan Umno, kombinasi antara generasi tua dan muda merupakan satu tindakan yang bijak, namun Musa berpendapat dalam keadaan Umno yang sudah berusia 61 tahun adalah lebih baik generasi muda mengambil alih parti itu sepenuhnya.

"Kalau kita lihat dalam senarai peringkat tertinggi, kita melihat calon Presiden dan Timbalan Presiden, yang senior dan yang berpengalaman menjadi pilihan, tapi pada saya tidak mengapalah itu pilihan mereka, tetapi jawatan lebih bawah daripada itu saya lebih suka golongan muda yang mengambil bahagian," katanya.

Musa berkata Umno harus sedar bahawa sokongan rakyat terhadap parti itu kini telah menurun berikutan isu-isu yang ada kaitan dengan persepsi rakyat.

"Persepsi rakyat ialah Umno begitu lama berkuasa dan pada pendapat mereka dari hasil pilihan raya Mac lalu, ada kelemahan-kelemahan yang begitu serius yang Umno tidak dapat mengatasinya termasuk isu rasuah dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata generasi kini merupakan orang terpelajar yang boleh berfikir dan tidak mahu lagi menerima amalan rasuah serta mendambakan akauntabiliti serta kredibiliti yang baik pada seorang pemimpin.

"Orang sekarang bukan seperti dahulu, macam zaman saya, kini kebanyakan masyarakat, orang terpelajar yang tidak mahu amalan rasuah, apa juga yang diperkatakan oleh pemimpin-pemimpin jika pemimpin tersebut tidak ada kredibiliti, jika imej mereka tidak diterima maka apa jua yang diperkatakan pemimpin itu tidak mahu mereka terima," katanya.

Sementara itu, Musa yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri turut mengulas mengenai proses pemilihan pemimpin yang sedang berjalan dan menyifatkan cara pemilihan calon yang dibuat berasaskan ukuran lama.

Setakat ini tiada seorangpun calon yang hendak bertanding dengan jelas menyebut bahawa sekiranya dipilih maka pemimpin itu akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menangani kesan akibat krisis ekonomi dunia, jelasnya.

Menurut Musa, ini membuktikan anggota Umno sibuk berebut kuasa untuk kepentingan diri sedangkan yang sepatutnya mereka fikirkan ialah masalah rakyat dan cara bagi mengatasinya.

Mahathir: 'Saya bebas komen Umno walaupun bukan ahli'

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau bebas untuk memberikan pandangan tentang Umno termasuk mengkritik pucuk kepimpinan walaupun masih bukan merupakan ahli parti.

Dalam kenyataan balas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tiga hari lalu, Dr. Mahathir berkata, "saya terkejut apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membuat kenyataan bahawa sebagai seorang yang bukan ahli Umno saya tidak berhak memberi pandangan saya terhadap apa yang sedang berlaku dalam UMNO."

"Saya teringat akan jawapan Tun Abdul Razak sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri apabila ditanya oleh pemberita tentang komen saya berkenaan Umno dalam tahun 1970.

"Beliau berkata sebagai orang yang bukan ahli Umno (saya telah disingkir oleh Umno pada masa itu) saya bebas berkata apa sahaja," kata beliau dalam blognya.

Dr. Mahathir juga menjelaskan tentang halangan yang beliau hadapi untuk mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Umno sejak kebelakangan ini.

"Saya hairan kenapa semasa saya masih ahli Umno setelah letak jawatan sebagai Presiden Umno saya juga tidak dibenar berjumpa ahli Umno dan pemimpinnya dari peringkat bahagian sehingga peringkat Majlis Tertinggi.

"Ahli Umno juga dilarang daripada menjemput saya untuk berucap dalam majlis UMNO atau menghadiri apa-apa majlis di mana saya akan berucap. Saya juga tidak dibenar berucap di Universiti. Jemputan kepada saya ditarik balik atas arahan orang tertentu dalam kerajaan dan parti.

"Yang mutakhir apabila saya dijemput oleh Kelab UMNO Melbourne dan saya terima untuk membuat ucapan berkenaan tajuk yang tidak menyentuh politik dalam negara, tiba-tiba Kelab Umno Melbourne menarik balik jemputan atas arahan Ibu Pejabat Umno," katanya.

Dr. Mahathir keluar Umno Mei lalu dan telah melahirkan hasrat untuk kembali ke pangkuan Umno baru-baru ini.

Kata Dr. Mahathir, adalah jelas sama ada ahli Umno atau tidak beliau tidak dibenar atau dihalang daripada memberi apa-apa pandangan berkenaan Umno atau berkenaan apa-apa perkara lain.

Sehubungan itu, kata bekas Presiden Umno, buat kali pertama beliau bersetuju dengan "orang Pak Lah" bahawa beliau berhak membidasnya.

"Buat kali pertama saya bersetuju dengan "orang Pak Lah" bahawa beliau berhak membidas saya, walaupun tindakan beliau tidak boleh ditafsir sebagai "elegant silence" Tun Musa. Tetapi sama da saya bidas balik adalah hak saya juga.

"Jikalau tak bersetuju dengan pendapat saya, itu juga hak masing-masing. Blog saya terbuka. Jika tidak memaki hamun blog saya terbuka kepada Pak Lah dan konco-konconya," katanya.

Pada Sabtu lalu, Abdullah membidas Tun Dr. Mahathir Mohamad sambil mendakwa bekas Perdana Menteri dan Presiden Umno itu berlagak seolah-olah pengarah pilihan parti yang menentukan "siapa yang perlu berada dalam parti Umno dan siapa yang perlu dikeluarkan."

"Dia berlagak seolah-olah menjadi pengarah kepada pilihan parti, menentukan orang itu memegang jawatan itu... orang ini pula memegang jawatan ini, siapa yang perlu ada dalam parti, siapa yang perlu dikeluarkan. Apa hak dia buat begitu?," kata beliau di Kota Kinabalu.

Perdana Menteri berkata, Umno tidak pernah memerlukan arahan daripada pemimpin yang tidak berada dalam parti itu.

Abdullah mengulas kenyataan Mahathir yang mahu perwakilan Umno "mengusir orang-orang Abdullah" dalam pemilihan parti itu Mac depan.

"Sebenarnya beliau mahu menimbulkan pergolakan, kemarahan dan kebencian.

"Apakah salah sangat orang-orang yang bekerja dengan saya. Apakah kalau mereka itu tidak bercakap atau tidak riuh-rendah maka itu mesti dianggap sebagai orang yang tidak baik...orang yang tidak pernah membuat baik untuk Umno dan kerajaan.

"Siapa dia yang membuat penentuan seperti itu. Ini akan menimbulkan kebencian sesama ahli Umno, mengajar ahli Umno bergaduh sesama sendiri," kata beliau yang jarang 'menyerang balas' Dr. Mahathir yang sering mengkritik gaya kepimpinan Abdullah sejak tiga tahun lalu.

Tan Lian Hoe diminta jelas kenyataan berbaur perkauman

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Tan Lian Hoe hari ini diminta memberikan penjelasan berhubung kenyataannya yang menyentuh isu perkauman pada Persidangan Perwakilan Wanita dan Pemuda Gerakan 10 Oktober lalu.

Ketika sesi soal jawab lisan Dewan Rakyat, Tan yang juga Ketua Wanita Gerakan diminta menjelaskan kenyataannya yang menyentuh mengenai asal usul masyarakat di negara ini oleh Salahuddin Ayob (PAS-Kubang Kerian) sewaktu mengemukakan soalan tambahan.

Bagaimanapun, Tan berkata, beliau menganggap isu tersebut telah selesai dan enggan mengulas lanjut di dalam Dewan.

Jawapan itu bagaimanapun menimbulkan rasa tidak puas hati Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) yang tetap mahukan Tan memberi penjelasan terhadap kenyataan kontroversinya itu.

Situasi Dewan menjadi tegang apabila Tian Chua (PKR-Batu) bangun dan meminta Mohamed supaya duduk kerana soalan yang dikemukakannya itu tiada kaitan dengan soalan asal kepada Kementerian Penerangan.

Hal itu kemudiannya mengundang kemarahan Mohamed dengan berkata: "Apa duduk? Soal bangsa saya tak akan duduk."

Tan kemudian menjawab dengan berkata, beliau akan memberikan penjelasan kepada mana-mana Ahli Parlimen yang datang berjumpa dengannya.

"Saya ingat saya akan jelaskan dengan lebih lanjut jika ada Ahli-ahli Yang Berhormat yang datang berjumpa dengan saya," katanya.

Jawapan Tan itu sekali lagi mengundang rasa tidak puas hati Mohamed.

"Mengapa kami perlu pergi berjumpa kamu? Kamu yang perlu datang jumpa kami untuk jelaskan perkara sebenar," kata Mohamed dengan tegas.

Pertikaman lidah itu kemudiannya ditegur oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang meminta ahli-ahli Dewan mengikut peraturan mesyuarat.

"Ikutlah peraturan mesyuarat. Menteri jawab sahaja apa yang disoalkan oleh Kubang Kerian (Salahuddin) kecuali saya jemput yang lain itu untuk berikan soalan," katanya.

Rais: Dr.Mahathir berhak buat kenyataan tentang Umno

KUALA LUMPUR:Ketua Umno Bahagian Jelebu Datuk Seri Dr Rais Yatim semalam membidas mereka yang mengkritik bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana membuat kenyataan tentang Umno.

"Banyak pihak yang menghentam Tun Dr Mahathir kerana membuat kenyataan tentang Umno. Ini tidak sepatutnya menjadi satu isu," kata Rais, yang juga Menteri Luar.

"Beliau ada locus standi (kedudukan) untuk membuat apa jua kenyataan tentang Umno. Beliau menerajui parti itu selama 23 tahun."Kalau mereka ingin berkata sesuatu kepada beliau, jumpa beliau dan cakap secara berdepan dengannya. Dr Mahathir berhak untuk menyatakan apa saja yang beliau mahu tentang Umno," katanya kepada pemberita pada Program Pertukaran Kebudayaan Rakan Malaysia anjuran Kementerian Luar di sini.

Sejak bulan lepas, ada pemimpin tertentu dalam Umno, termasuk presiden parti dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, menuduh Dr Mahathir menjadi punca perpecahan yang berlaku dalam parti itu.

Bekas perdana menteri itu keluar daripada Umno awal tahun ini dan berkata beliau akan hanya kembali ke pangkuan parti itu apabila Abdullah tidak lagi berada dalam Umno dan memegang jawatan dalam kerajaan.

Beralih kepada isu lain, Rais mendakwa amalan politik wang semakin menjadijadi dalam Umno ketika ini dan jika tidak diatasi, perbuatan ini boleh mengakibatkan parti politik terbesar di Malaysia itu berkubur.

Kata beliau Akta Suruhanjaya Antirasuah, yang dicadangkan dan akan dibentangkan di Dewan Rakyat menjelang akhir tahun ini, mampu mengekang amalan buruk itu, yang sering melanda Umno apabila parti itu mengadakan pemilihan.

Umno, yang menjadi tulang belakang Barisan Nasional, akan mengadakan pemilihannya pada Mac tahun depan.

Dalam sistem parti itu, kesemua 191 bahagian akan mencalonkan pemimpin untuk bertanding bagi jawatan tertinggi di peringkat kebangsaan, daripada jawatan presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden, hinggalah kepada 25 kerusi majlis tertinggi.

Rais telah mengumumkan keputusannya untuk bertanding bagi jawatan naib presiden dan setakat ini, beliau baru mendapat enam pencalonan.

Seseorang yang ingin menjadi calon naib presiden disyaratkan mendapat sekurangkurangnya 20 pencalonan. Mesyuarat peringkat bahagian telah bermula dan akan berakhir pada 9 Nov.

Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sedang mendahului persaingan bagi merebut jawatan naib presiden dengan memperoleh 54 pencalonan, diikuti Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (38) dan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Shafie Apdal (32).

Setakat ini, mereka menduduki tiga tempat teratas dalam senarai 12 pemimpin Umno yang mendapat pencalonan untuk bertanding bagi merebut tiga kerusi naib presiden.

Rais berkata beliau mendapati sesetengah pemimpin mendapat pencalonan "di luar kebiasaan", tetapi tidak menyebut nama pemimpin berkenaan dan jawatan yang mereka tandingi.

"Saya sendiri telah dihubungi beberapa bahagian yang ingin mendapatkan sumbangan dan derma. Kalau saya beri kepada mereka apa yang dikatakan sebagai sumbangan atau derma itu, saya akan dapat pencalonan, tapi saya tak akan tunduk kepada permintaan seperti itu. Pencalonan patut berdasarkan khidmat dan kebolehan," kata Rais.

Tuesday, July 29, 2008

Bekas PM Kanada : Pejuang Anwar Ibrahim Yang Halalkan Perkahwinan Gay dan Lesbian.


Mereka ialah bekas Perdana Menteri Kanada, Paul Martin; Bekas Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Michel Camdessus dan bekas Presiden Bank Dunia, James Wolfensohn.

- Siapakah mereka yang sebenarnya?

- Apakah kenyataan bersama mereka itu layak dipandang serius oleh rakyat dan kerajaan Malaysia?

- Apakah mereka benar-benar faham terhadap situasi dan undang-undang negara yang berdaulat seperti Malaysia?

- Apakah mereka itu hanya merupakan bekas-bekas pemimpin yang tidak lagi mempunyai maruah diri dek perbuatan silam semasa menerajui organisasi masing-masing?

ATAU

- Apakah pengikut-pengikut Anwar Ibrahim dan PKR patut berasa malu apabila Anwar Ibrahim mempunyai kaitan yang erat dengan ketiga-tiga pemimpin itu?


1. Paul Martin

Paul Martin merupakan bekas Perdana Menteri Kanada. (12 December 2003 – 6 February 6 2006) yang jatuh tersungkur dan menanggung malu apabila tiga parti pembangkang bersepakat untuk menjatuhkan beliau menerusi pengundian usul tidak percaya di House of Commons (Dewan Rendah).

Parti Liberal berhaluan tengah-kiri pimpinan Paul Martin ketika itu menghadapi pergolakan politik dan juga dihantui skandal rasuah.

Paul Martin hanya menjawat jawatan Perdana Menteri selama 3 tahun sahaja, satu sejarah baru bagi negara Kanada.

Yang menimbulkan persoalan besar mengenai gesaan beliau supaya Malaysia menghormati hak individu ialah pemahaman Paul Martin sendiri mengenai maksud hak dan konsep moral itu sendiri.

Dalam masa pemerintahan beliau yang singkat itu, Paul Martin telah meluluskan satu akta yang memualkan iaitu Akta Perkahwinan Awam (Civil Marriage Act) atau pun Bill C-38 pada 1 Februari 2005 di House of Commons.

Akta tersebut telah meluluskan perkahwinan sesama jantina kononnya di atas dasar hak asasi manusia!

Maksudnya, Paul Martin telah membenar dan menggalakkan perkahwinan lelaki dengan lelaki (gay) dan perempuan dengan perempuan (lesbian).

Dan Kanada merupakan negara keempat di dalam dunia ini yang membenarkan perkahwinan songsang itu.

Dengan wujudnya Akta yang songsang dan terkutuk ini, negara Malaysia sebagai negara Islam pastinya membantah dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kerajaan Paul Martin itu.

Dan orang yang menghalalkan perkahwinan songsang itu juga patut dikutuk dengan keras!

Dengan menyetujui akta perkahwinan sesama jantina, kita tentu dapat memahami penerimaan Paul Martin mengenai seks luar tabii yang pada pendapat beliau adalah satu bentuk seks yang lumrah di antara pasangan gay dan lesbian!

Dan untuk pengetahuan pembaca sekalian, encik Michael Hendricks dan encik René Leboeuf merupakan pasangan lelaki (gay) yang pertama berkahwin secara sah di Quebec, Kanada. (rujuk foto)

Tanya diri sendiri, tidakkah ianya satu akta yang memualkan?

Dan Paul Martin pula adalah sahabat baik Anwar Ibrahim yang kini disiasat kerana dituduh meliwat Saiful.


2. James David Wolfensohn

James David Wolfensohn merupakan Presiden Bank Dunia ke sembilan (1995 - 2005). Beliau dilahirkan di Sydney, Australia dan berketurunan Yahudi.

Beliau juga merupakan trustee kepada Rockefeller Foundation , satu sindiket kebajikan di mana pengasas-pengasasnya dikatakan berasal daripada Yahudi keturunan Sephardic ( Yahudi campuran Sepanyol dan Portugis) .

(Foto - Wolfesahn berpelukan dengan John Rockefeller)

Apabila Wolfensohn bersara pada tahun 2005, tempat beliau diganti pula oleh Paul Wolfowitz, seorang lagi sahabat baik Anwar Ibrahim.

Paul Wolfowitz adalah daripada keturunan Yahudi Poland yang dianggap tidak berhak memegang jawatan itu kerana beliau adalah pemimpin neocon - ekstrem berhaluan kanan yang menggubal dasar penguasaan dominasi AS di dunia, tidak langsung berminat memperjuangkan nasib golongan miskin dan juga memainkan peranan penting dalam pencerobohan negara itu ke atas Iraq.


3. Michel Camdessus

Michel Camdessus pula merupakan Pengarah Urusan Dana Kewangan @ International Monetary FundAntarabangsa (IMF) pada tahun 16 Januari 1987 hingga 14 Februari 2000.

IMF di bawah Camdessus pernah menyelar langkah-langkah yang diambil oleh Malaysia bagi menangani krisis Mata Wang Asia pada tahun 1997. Seperti yang kita ketahui hari ini, Malaysia hampir menerima pakej bantuan IMF yang disarankan oleh Anwar Ibrahim (sahabat Camdessus) tetapi Dr Mahathir telah menolak pakej tersebut.

Oleh kerana tindakan Dr Mahathir itu, Malaysia terselamat, tahap ekonomi negara dapat dikekalkan dan rakyat tidak sengsara seperti di negara-negara jiran. (Dr Novandri : Masaalahnya ialah kerajaan hari ini dan ramai yang sudah terlupa jasa Dr Mahathir!)

Dan apabila Dr. Horst Koehler menganti IMF pada tahun 2000, beliau berkata: ``Mahathir betul... prestasi ekonomi sejak krisis itu menunjukkan dia betul.''

Camdessus juga pernah campurtangan di dalam hal-ehwal negara Malaysia apabila beliau mencadangkan supaya kerajaan Malaysia menilai semula polisi kawalan harga ke atas petrol dan barangan keperluan asas termasuk beras, tepung, susu dan gula.

Cadangan ini dikritik dengan keras oleh pihak Malaysia kerana ia bermakna tiada lagi subsidi kerajaan ke atas barangan itu dan kemungkinan harga barang kawalan akan naik mendadak jika harganya ditentukan oleh kuasa pasaran.

Kesimpulannya, jika berdasarkan kepada matlumat-matlumat di atas, kita perlu berhati-hati. Sahabat-sahabat Anwar Ibrahim mempunyai personaliti dan motif yang amat mencurigakan.

Kita tanyakan kepada diri sendiri, apakah motif dan kaitan di antara Anwar Ibrahim dengan Paul Martin, pejuang kahwin sesama jenis, James David Wolfensohn, keturunan Yahudi dan Michel Camdessus, bekas ketua IMF yang hampir meranapkan Malaysia pada 1997?

Apakah kenyataan bersama ketiga-tiga pemimpin itu hanya merupakan satu kebetulan?

Atau ianya merupakan satu komplot terancang satu organisasi besar dunia yang memperalatkan Anwar Ibrahim?

Kepada rakyat dan pengikut-pengikut Anwar Ibrahim, sedarlah dengan segera.

Kaji semula keanggotaan Pas

DAP persoal kredibiliti berdasar perkembangan mutakhir undang keraguan

KUALA LUMPUR: Tanda perpecahan mula ketara dalam Pakatan Rakyat apabila DAP secara terbuka meminta pakatan itu mengkaji semula keanggotaan Pas.

"Pas ternyata mengundang keraguan mengenai kredibilitinya dan berdasarkan perkembangan mutakhir, Pakatan Rakyat perlu menimbang secara serius sama ada Pas patut terus dibenarkan menganggotainya," kata Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh menerusi kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam.


Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu berkata demikian sebagai reaksi terhadap laporan berita baru-baru ini yang mengesahkan bahawa Pas dan Umno, yang menjadi tulang belakang Barisan Nasional (BN), mengadakan rundingan bagi memelihara perpaduan Melayu di negara ini.

"Jaminan Presiden Pas (Datuk Seri) Abdul Hadi Awang kepada rakan dalam Pakatan Rakyat (Parti Keadilan Rakyat dan DAP) bahawa Pas tidak akan meninggalkan pakatan itu bagi menyertai BN adalah tidak ikhlas dan tidak disokong oleh perkembangan kebelakangan ini.

"Selepas pilihan raya umum pada 8 Mac, Pas mengadakan perbincangan dengan Umno bagi membentuk kerajaan campuran di Selangor. Tindakan ini berniat jahat kerana DAP dan PKR tidak dimaklumkan mengenai perkara itu," katanya.

Beliau juga menyelar langkah Pas mengadakan satu lagi pusingan rundingan dengan Umno 'atas nama perpaduan Melayu' dan menyifatkan langkah bersifat perkauman oleh Pas itu sebagai tidak sejajar dengan dasar DAP dan Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat, yang dianggotai DAP, PKR dan Pas memerintah lima negeri – Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Perpecahan gabungan ini akan menyebabkan berlaku perubahan kerajaan di negeri terbabit, kecuali di Kelantan dengan Pas mempunyai majoriti lima kerusi.

Kelmarin, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencadangkan agar Umno dan Pas dibubarkan dan sebuah parti baru ditubuhkan bagi menyatukan semua orang Melayu.

"Pendedahan ini sungguh memeranjatkan dan memberi kesan serius. Kenyataan Nik Aziz ini mengetepikan kenyataan Abdul Hadi di Ipoh kelmarin bahawa Pas tidak akan bergabung dengan Umno atau menyertai Barisan Nasional.

"Jelas sekali, kenyataan pemimpin PAS kebelakangan ini memberi persepsi bahawa mereka akan meninggalkan Pakatan Rakyat," kata Karpal.

Bagaimanapun, kenyataan Karpal juga mengandungi kesilapan apabila beliau menyebut Nasharudin Mat Isa sebagai Setiausaha Agung Pas sedangkan orang kuat Pas itu adalah Timbalan Presiden parti berkenaan.

"Minggu lalu, Setiausaha Agung (sebenarnya timbalan presiden) Pas Nasharudin Mat Isa berkata orang Melayu sudah mula mempercayai tuduhan meliwat yang dihadapi Anwar Ibrahim.

"Kenapa Nasharudin buat kenyataan seperti itu? Dengan berbuat demikian, beliau membabitkan Pas secara menyeluruh memandangkan kedudukannya sebagai setiausaha agung (timbalan presiden).

"Kenyataan Nasharudin itu bukan saja bersifat menghina dan tidak tepat, malah berupa satu serangan terbuka terhadap Anwar yang sedang bergelut dengan usaha untuk merosakkan kredibiliti beliau melalui dakwaan meliwat.

"Pas tidak patut dan tidak boleh dibiarkan berlari bersama arnab dan memburu bersama anjing pemburu bagi mengelaknya daripada dibaham anjing berkenaan," kata Karpal. – Bernama