Tuesday, February 3, 2009

Lupakan projek mega di Selangor




setelah hampir sembilan bulan Pakatan Rakyat memerintah negeri Selangor, rakyat telah melihat pelbagai perkembangan yang menuntut polemik tidak berkesudahan sama ada di gerai-gerai jalanan, warung kopi, pejabat kerajaan, balai raya dan sebagainya.
Saya sebagai salah seorang anak jati kelahiran Selangor sentiasa mengikuti perkembangan negeri ini dengan penuh minat. Contohnya, isu ladang babi moden yang sehingga kini masih menjadi tanda- tanya. Selain itu, isu-isu agama termasuk isu surau dan kuil yang dibina atas tanah kerajaan, serta beberapa isu lain.
Terbaru, isu korek pasir haram di tebing-tebing sungai yang masih berleluasa. Akibatnya, ramai pengguna yang mendiami daerah Hulu Langat, Sepang, Banting menderita beberapa hari kerana ketiadaan bekalan air.
Saya bimbang dan khuatir dengan segala perkembangan yang berlaku di negeri tanah tumpah darah saya ini, yang mana kebanyakannya masih belum dapat diatasi, lambat laun akan menghakis keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang memerintah.
Tidaklah saya berkata, kerajaan dahulu lebih sempurna tetapi pada mata kasarnya rakyat harus diberi kepastian ke arah mana mereka hendak dibawa oleh kerajaan yang ada sekarang.
Saya harap kerajaan Pakatan Rakyat Selangor lupakanlah dahulu projek-projek mega yang menimbulkan kegelisahan di kalangan rakyat seperti membina ladang babi moden dan yang terbaru cadangan mengambil alih industri air negeri.
Eloklah peruntukan besar itu disalurkan kepada bidang-bidang lain yang lebih memerlukan perhatian segera seperti membina lebih banyak rumah kediaman, membersih sungai tercemar, memberi biasiswa kepada pelajar miskin, pemberian bantuan wang dan makanan kepada keluarga miskin tegar serta bantuan kepada warga emas.
Semua perkara itu lebih bermanfaat berbanding projek mega yang menelan belanja besar. Biarlah projek-projek mega ini diuruskan oleh kerajaan pusat yang mempunyai dana lebih besar dan terjamin.
Jangan biarkan warga Selangor terbeban oleh kos hidup yang tinggi ekoran komitmen besar kerajaan negeri yang belum tentu menghasilkan pulangan yang memberangsangkan dan direstui rakyatnya.

Bantah peruntukan zakat kepada bukan Islam


SHAH ALAM- Dua anggota pembangkang mempersoalkan langkah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kota Damansara, Dr. Mohd. Nasir Hashim yang mencadangkan agar kerajaan negeri menyalurkan sebahagian peruntukan zakat kepada bukan Islam di Selangor.
Datuk Dr. Satim Diman (BN-Sri Serdang) dan Abdul Shukur Idrus (BN-Kuang) berkata, soal pengurusan wang zakat tidak harus dibangkitkan oleh mana-mana pihak dan dijadikan isu untuk kepentingan politik.
Menurutnya, wang zakat yang dikumpul adalah untuk diagih-agihkan kepada lapan asnaf yang telah ditetapkan agama Islam.
"Wang zakat itu memang digunakan untuk kebajikan orang Islam, anggota parti komponen BN (Barisan Nasional) dari kaum Cina dan India juga faham.
"Tetapi kini ia timbul atas kedangkalan wakil-wakil rakyat dari Pakatan Rakyat yang mempunyai unsur-unsur kepentingan politik sampai sanggup menggadai, walaupun agamanya sendiri," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Semalam Mohd. Nasir yang juga Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM) membangkitkan perkara itu ketika sesi soal jawab pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, sebagai salah satu pendekatan yang boleh diambil oleh kerajaan negeri pakatan pembangkang untuk menangani masalah kemiskinan di kalangan bukan Islam.
Bagaimanapun Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam reaksinya semalam berkata, cadangan itu tidak mungkin dilaksanakan pada masa ini memandangkan dana kutipan zakat diperoleh daripada penyumbang yang beragama Islam.
Sementara itu, Abdul Shukur mengingatkan semua pihak supaya menghormati hak-hak yang ditetapkan untuk orang Islam.
"Dalam soal ini, tidak perlu ditimbulkan oleh orang Melayu beragama Islam, kalau kita tidak berilmu dalam soal ini, lebih baik kita diam," ujarnya.
Dalam pada itu Mohd. Nasir memberitahu, beliau hanya menimbulkan soalan dan bukannya membuat cadangan seperti dilaporkan media.
"Sebenarnya saya hendakkan penjelasan pasal perkara itu tergantung, itu terpulang kepada masing-masing, kita tidak faham, kita tanya orang lain yang tahu.
"Bukan hak saya hendak mempertikaikan apa yang telah ditetapkan," tegasnya.